Dilema Rakyat: Harapan Dalam Kegusaran

Bagi menjawab cabaran politik dan anjakan paradigma rakyat yang sentiasa berkembang dan berubah, pimpinan UMNO dan BN memerlukan tahap kompetensi keilmuan, kemahiran dan seni berpolitik yang tinggi. Memahami apakah dilema dan denyut nadi rakyat melalui Fiqh Perubahan (Fiqh al-Taghyir) dan Fiqh Realiti (Fiqh al-Waqi’) akan memberikan kelebihan kepada UMNO dan BN menyantuni harapan dan kegusaran rakyat.

Rakyat berada dalam dilema kerana serba salah kepada siapa hendak mengadu nasib, mencari tempat untuk berteduh dan bergantung harap. Manifesto bukan janji tetapi omongan kosong, harapan yang dilaungkan sepi tanpa khabar berita. Hanya kedengaran kerajaan baharu menyalahkan kerajaan terdahulu yang seakan tiada noktahnya walaupun sudah hampir setahun mereka menjadi kerajaan.

Rakyat semakin gusar melihat dasar pecah dan perintah (devide and rule) yang semakin membarah di kalangan orang Melayu Islam. Jika senario ini tidak ditangani dengan segera ianya akan melemahkan kuasa politik orang Melayu Islam dan memungkinkan terjadinya minoriti menguasai majoriti.

Pecah dan perintah antara faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah setelah bertahan selama 623 tahun dari 1299 sehingga 1922 Masihi. Di samping itu keterlibatan golongan minoriti terdiri daripada orang Yahudi dan Armenia diberi peluang untuk menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan dan mereka turut berperanan menjatuhkan Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1922 Masihi.
Jangan kita terjebak dalam propaganda pecah dan perintah, bukan waktu dan ketikanya untuk pimpinan UMNO berkonfrontasi sesama sendiri, membentuk kabilah dan menentukan calon yang selayaknya memimpin UMNO bagi menghadapi PRU 15. Sewajarnya kita serahkan kepada Perwakilan UMNO dan ahli untuk menentukan calon yang akan mengemudi bahtera keramat ini, bukan menjadikan pihak ketiga sebagai jurucakap yang pastinya menimbulkan perasaan kurang senang kalangan ahli.

Selayaknya pasca PAU ke 72 pada 2018 yang lalu dengan laungan UMNO BANGKIT kita sudah membina Wahdatul Fikr dan Wahdatul Amal. Jika ada kalangan pimpinan UMNO yang merasakan layak dan selayaknya dinobatkan jawatan yang tinggi dalam parti. Alangkah hormaninya jika mereka mengambil jalan bersabar, membina reputasi dan bertanding dalam pemilihan parti pada tahun 2021 nanti.

Pepatah Arab ada menyebutkan “Pemuda hari ini ialah pemimpin di masa depan” (syubbanul yaum rijalul ghod). Saya cukup berkeyakinan bahawa ramai daripada pimpinan pemuda UMNO hari ini yang berkelayakan untuk menerajui parti pada masa akan datang. Justeru jangan terlalu gopoh, tingkatkan kompetensi diri, ilmu dan kemahiran, terokai pengalaman dan telusuri seni berpolitik. Bak kata Peribahasa Melayu “Tak akan lari gunung dikejar, hilang kabut tampaklah dia”.

Rakyat perlukan solusi kepada permasalahan yang semakin menghimpit kehidupan seharian mereka. Rakyat sudah jemu dan mungkin ada yang sudah meluat melihat pemimpin Melayu Islam masih bercakaran sesama sendiri, mengejar glamour, pangkat dan ghanimah. Adakah rakyat masih menaruh harapan dengan manifesto Pakatan Harapan? Apakah harapan rakyat kepada pembangkang? Dua persoalan ini menjadi denyut nadi rakyat yang perlu diberikan perhatian.

Berdasarkan pengamatan saya urutan keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) rakyat memerlukan Perpaduan Ummah UMNO PAS dan pembelaan secara konsisten kepada isu-isu berbangkit seperti kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan, biasiswa, keistimewaan orang Melayu dan Artikel 153 perlembagaan tidak tergugat. Saya berkeyakinan isu-isu tersebut mampu dijuarai pembangkang dan akan mengembalikan keyakinan rakyat.

Rakyat menaruh harapan yang tinggi agar Perpaduan Ummah UMNO PAS menjadi satu realiti dan kedua-dua parti terbesar orang Melayu Islam ini tetap utuh dan relevan di arena politik tanah air. Dengan harapan menggunung inilah saya mengambil keputusan untuk berehat seketika sebagai Presiden UMNO dan menamakan Timbalan Presiden menjalankan tugas-tugas Presiden sewaktu saya berehat. Asasnya tindakan ini dibuat bagi menghentikan episod lompat-melompat pemimpin UMNO ke parti kerajaan yang pastinya akan melemahkan UMNO secara khusus dan pembangkang di parlimen secara am.

Pengorbanan dan tindakan ini bukan bersifat peribadi tetapi demi survival parti, demi perjuangan UMNO dan kemaslahatan bagi menolak kemudharatan. Al-Qawaid al-Fiqiyyah menggariskan:
‘Tindakan pemimpin (pemerintah) ke atas pengikut (rakyat) adalah mesti berkait dengan maslahah’ (Tasharruful Imam ‘Ala al-Ra’iyyah Manutun Bi al-Maslahah)
Imam al-Ghazali Rahimahullah menyebutkan: ‘Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan‘.

Sebarang pendapat peribadi dalam tulisan pojok biarpun dihormati,namun suara perwakilan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO wajib dihormati.Suara akar umbi sebenarnya suara keramat. Berehatnya saya demi memberikan kebaikan dan manfaat kepada kepada UMNO serta dalam masa yang sama untuk menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas UMNO, yang akhirnya akan merugikan rakyat.

Justeru bila tiba saat dan ketikanya, jika difikirkan bersesuaian saya akan memikul tanggungjawab dan amanah ahli UMNO menakhodai bahtera keramat ini, mewarnai harapan dan melegakan kegusaran rakyat. Demi ummah kita berpadu, demi perpaduan doa dipanjatkan agar terus beristiqomah dalam perjuangan.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.