Kebijakan Menempuh Revolusi 4.0

Sejak diperkenalkan di Jerman pada 2011, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) adalah cabaran baru kepada kehidupan manusia. Teknologi yang menggabungkan dunia biologikal, fizikal dan digital serta menghasilkan pelbagai teknologi baharu yang memberikan kesan kepada pelbagai disiplin, ekonomi dan industri.

Sebelum ini, revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Diikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Bagaimanapun, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Apa yang pasti Industri 4.0 akan mengubah corak kehidupan manusia khususnya generasi muda. Seorang pemikir dan pengkaji barat, John Naisbitt dalam bukunya High Tech High Touch menyatakan “Hasil daripada penyelidikan bersama isterinya (1999), telah mendapati bahawa teknologilah yang menguasai dan membentuk manusia dan bukan sebaliknya. Manusia telah mencipta tuannya sendiri”

Syaidina Umar Al-Khattab mengatakan, “didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau”. Pesanan ini mengambarkan keperluan menguasai ilmu (pelengkap) yang diperlukan pada zamannya. Maknanya Industri 4.0 perlu kita kuasai dan bukan dikuasai.

Apa yang masih ditunggu-tunggu ialah wujudnya pakar teknologi Muslim yang mampu merekacipta teknologi yang Islamic- compliance dan sekaligus human-compliance.

Kerajaan Barisan Nasional dahulu telah mengambil inisiatif dalam peruntukan Bajet 2018 dengan menyediakan geran sepadan sebanyak RM 245 juta bagi melonjakkan daya inovasi dan seterusnya melahirkan pakar teknologi Revolusi Industri 4.0.

Ketika kita terpesona dengan inovasi dan kecanggihan hasil Revolusi Industri 4.0 ini, perlu juga kita waspada kesan negatif teknologi yang sifatnya mampu memuaskan tuntutan minda dan jasmani, tetapi keracunannya memulas keluar semangat keinsanan sehingga manusia tercari-cari tentang makna dan tujuan hidup.

Satu kajian menyimpulkan terdapat lima simptom negatif kepada mereka yang diracuni oleh teknologi:

  • Kecenderungan memilih jalan cepat-sedia (ready-made) – Amalan tradisi bermusyawarah, berdiskusi ditinggalkan dan tempatnya beransur-ansur diambil oleh cara penyelesaian yang sedia-cepat. Segalanya dibudayakan penyelesaian secara segera, daripada urusan agama, ekonomi, sosial dan politik.
  • Gerun dan menyembah teknologi – Dahulu manusia takut kepada Tuhan, kini ketakutan tersebut beralih kepada teknologi, kerana teknologi yang bukan neutral adalah perhambaan yang menakutkan.
  • Mencintai teknologi sebagai mainan – Segala yang baharu ingin segera dimiliki seolah-olah satu permainan, bukan lagi refleksi untuk meningkatkan ciri keinsanan.
  • Keganasan sebagai biasa – Industri permainan video elektronik telah menghasilkan pendapat USD 16 bilion setahun di Amerika. Paling diminati permainan video berunsurkan peperangan dan keganasan.
  • Kabur di antara hal sebenar dan tiruan – kehebatan inovasi IR 4.0 memang luar biasa dan memukau sehingga tidak dapat dibezakan antara asli dan tiruan, realiti atau fantasi.

Kita perlukan kebijakan menghadapi perkembangan IR 4.0 kerana ia bukan sahaja mencorak cara hidup, nilai dan norma tetapi mampu mengubah persepsi mengenai manusia itu sendiri dan mencabar kesemulajadiannya.

Tiada jalan mudah dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, ahli dan pendokong UMNO khususnya kalangan Pemuda dan Puteri perlu menguasai dan memahami impak IR 4.0 kepada sosioekonomi, sosiopendidikan dan sosiopolitik negara.

Dalam aspek ekonomi, Price Waterhouse Coopers melaporkan terdapat 20,000 syarikat di 29 negara dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat akan melabur hampir USD 1 trilion setahun bagi mengubah cara beroperasi disuaikan dengan perkembangan IR 4.0.

Ekonomi Malaysia berdepan kesukaran apabila Kerajaan Pakatan Harapan dilihat lebih banyak berpolitik dan bermain silap mata berbanding mendepani Revolusi Industri 4.0. Ditambahi pula tahap keyakinan pelabur asing yang rendah dan hutang negara yang semakin meningkat daripada RM 686 Bilion pada 31/05/2018 kepada RM 776 Bilion pada 30/05/2019.

Berdasarkan kajian kebanyakan industri di Malaysia masih berada dalam kategori industri 2.0 yang berasaskan buruh. Kesannya, berlaku peralihan pelaburan asing ke negara-negara jiran seperti Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja. Ini disebabkan penggunaan teknologi terkini, lebih mudah dan faktor buruh yang murah.

Profesor Klaus Schwab dalam buku The Fourth Industrial Revolution menjelaskan IR 4.0 akan mengubah cara hidup seharian dan cara bekerja melalui tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal.

Marilah kita menempuhi IR 4.0 dengan penuh kebijaksanaan dalam perspektif keseluruhan bukan secara ‘piece meal’, bukan cuma bersistem tetapi juga bersistematik. Dengan harapan IR 4.0 dapat berkembang dalam ekosistem yang kondusif, efektif dan mempertahankan nilai-nilai insani sebagai khalifah dan rakyat Malaysia.

AHMAD ZAHID HAMIDI

#demiummah
#akhiratdidepan


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.