TERLALU ideal untuk membayangkan terciptanya perpaduan ummah secara mendadak. Prosesnya memakan masa, penelitian dan sumbang saran dilakukan secara berterusan. Dorongan dan ransangan terus menerus dilakukan oleh pimpinan UMNO dan PAS.
Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat akan menjadi rujukan dan ikatan taawun siyasi UMNO-PAS. Jawatankuasa Teknikal sedaya upaya merangka piagam bukan untuk kepentingan UMNO dan PAS semata-mata tetapi ia melibatkan kepentingan ummah.
Pelantikan lima orang Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor dan Perlis serta Pengerusi Lembaga Penasihat BN baru-baru ini menjadi bukti dan manifestasi bahawa usaha ke arah pengukuhan dan memperteguhkan saf kepimpinan sedang dilakukan secara proaktif.
Pelantikan dilakukan bukan atas sentimen dan kepentingan mana-mana individu tetapi berdasarkan keupayaan dan kepakaran yang dimiliki bagi membantu dan menguatkan UMNO. Saya berkeyakinan kepakaran dan kompentensi yang mereka miliki mampu mencorakkan UMNO ke arah yang lebih baik.
Pelbagai andaian, cemuhan dan jangkaan negatif berkaitan ta’awun siyasi antara UMNO dan PAS, sehingga ada yang cuba melaga-lagakan antara UMNO, MCA dan MIC. Semua usaha ini dilakukan bagi mengagalkan agenda perpaduan ummah.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata “MCA tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk PAS demi kebaikan rakyat dan atas semangat sejagat. Pendirian MCA amat jelas. Kita mendukung semangat dan prinsip dalam BN yang wujud sejak sekian lama”.
Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata MIC tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerjasama UMNO-PAS. MIC juga sebelum ini pernah menyuarakan pendapat berhubung isu ini. Kami memang tiada masalah, malah MIC boleh bekerjasama dengan PAS atas semangat pembangkang.
Dengan perkembangan positif ini serta dokongan semua pihak, saya akan terus beriltizam dan berusaha membawa pimpinan dan mantan pimpinan UMNO bersama-sama dalam bantera perpaduan ummah, tanpa meninggalkan seorang pun kalangan mereka yang berminat untuk membantu menjayakan agenda besar ini.
Kisah kepemimpinan Sultan Muhammad al-Fateh menakluki Kota Konstantinopel boleh dijadikan panduan bagaimana kepakaran dan strategi yang digunakan oleh Sultan Muhammad al-Fateh merealisasikan sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq yang bermaksud: “… Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera-tentera Islam. Rajanya ada sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Para sahabat Rasulullah S.A.W berlumba-lumba untuk menawan kota Konstantinopel bagi mengecapi apa yang telah dijanjikan Allah S.W.T. Namun begitu, semua serangan mereka telah gagal. Contohnya, Kerajaan Umaiyyah yang melakukan lima kali kempen serangan, satu kali pada zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Abu Ayyub al-Ansary R.A. telah syahid di dalam sebuah serangan semasa zaman Kerajaan Umaiyyah telah dimakankan jasadnya di bawah dinding kota Konstantinopel di atas permintaannya sendiri.
Akhirnya, impian Rasulullah S.A.W telah berjaya direalisasikan oleh tentera yang dipimpin oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 29 Mei 1453 Masihi.
Sebelum menyerang kota Konstatinopel, baginda telah mengkaji dahulu setiap titik-titik kelemahan yang ada pada kota itu serta sebab-sebab kegagalan serangan-serangan sebelum ini. Saya tertarik dengan dua dimensi penting yang menyumbang kepada kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh menakluki kota Konstatinopel.
Dimensi perancangan taktikal peperangan, Sultan Muhammad Al-Fateh telah menggunakan strategi dimana kubu pertahanan (strongholds) bukan sahaja berperanan sebagai tempat defensif sahaja, malah telah berperanan sebagai tempat ofensif.
Berdasarkan kepada ketidaktentuan politik semasa, UMNO dan BN secara proaktif perlu melakukan ofensif kepada mana-mana dasar kerajaan yang merugikan rakyat. Zaman kita defensif sudah berlalu.
Dimensi perancangan logistik dan pentadbiran. Sultan Muhammad Al-Fateh telah menggunakan kepakaran sumber manusia bagi membina sebuah meriam yang mampu menembusi tembok Konstantinopel. Sekumpulan pakar dalam teknologi peperangan telah berkerjasama termasuk seorang jurutera bernama Urban yang berpaling tadah dan telah bersetuju bekerjasama dengan kerajaan Uthmaniyah.
Melibatkan secara aktif mantan pimpinan UMNO sebagai sumber manusia dan juru bicara parti adalah langkah bagi perkongsian kepakaran dan pengalaman mereka bagi dan membentuk kebersamaan dan mengimbangi perjuangan ini.
Sebelum Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS ditandatangani saya meletakkan satu harapan yang besar agar sahabat seperjuangan UMNO bersama-sama dalam bahtera ini. Selepas dipersetujui, piagam ini akan menjadi garis panduan yang lengkap dan komprehensif ta’awun dan tahaluf siyasi UMNO – PAS.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan