Roh dasar Ekonomi Baru Wajib Diteruskan

Dasar Ekonomi Baru (DEB) wajib diteruskan rohnya. Diperkenalkan pada tahun 1970 dengan strategi serampang dua mata iaitu untuk membasmi kemiskinan dan memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi. Jika DEB tidak diperkenalkan selamanya Melayu dan Bumiputera tidak akan dapat peluang dan ruang dalam sektor ekonomi.

DEB berjaya memulakan gerak ke arah perwujudan keadilan ekonomi di Malaysia apabila kadar kemiskinan negara dikurangkan kepada 17.1 peratus pada tahun 1990 berbanding 49.3 peratus pada tahun 1970. Kadar Kemiskinan pada tahun 2014 pula terus menurun ke tahap 0.6 peratus. Ketika DEB mula dilaksana, kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu berada pada paras 64.8 peratus.

Selepas penamatan DEB pada tahun 1990, Kerajaan BN memperkenalkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Wawasan Negara (DWN) dan Model Ekonomi Baru (MEB) diperkenalkan pada Mac 2010. Kesemua polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bermatlamatkan bagi merancakkan ekonomi bumiputera dan memberikan keadilan dalam pengagihan ekonomi kepada semua rakyat mengikut keperluan dan keutamaan masing-masing.

Memetik kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi bahawa “dalam langkah kerajaan meneliti semula dasar utama negara, pembangunan sosioekonomi orang Melayu dan Bumiputera tetap menjadi agenda penting tanpa meminggir kaum lain di negara ini”.Apa yang menghairankan berlaku sebaliknya, pendapatan dan sosioekonomi golongan petani, nelayan, peneroka, buruh dan perniagaan kecil dan sederhana orang Melayu dan Bumiputera berada didalam situasi meruncing dan tidak mendapat pembelaan.

Sebelum Mei 2018, harga runcit setan kelapa sawit mentah ialah antara RM580 dan RM600 tetapi kini hanya tinggal sekitar RM280 dan RM300. Kemerosotan harga minyak kelapa sawit menyebabkan pekebun kecil tergolong dalam kumpulan rakyat termiskin yang memperolehi pendapatan kurang RM 1,000 sebulan. Situasi ini telah menimbulkan kerisauan kepada lebih 650,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara. Belanjawan 2019 juga dilihat sebagai kurang mesra kepada pekebun kecil. Peruntukan RM260 juta yang diberi oleh kerajaan BN sebelum ini sebagai bantuan musim tengkujuh telah dihapuskan. Apakah ini dinamakan kerajaan yang prihatin dengan nasib dan derita rakyat marhean?

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah pemerintah yang ekonomis. Kehebatannya mengendalikan ekonomi negara sehingga tidak kedapatan golongan asnaf yang memerlukan zakat. Antara pendekatan yang digunakan baginda ialah:
• Meningkatkan pendapatan golongan buruh serta merapatkan jurang pendapatan antara buruh, pegawai dan pentadbir
• Meringankan pajakan dan bebanan kepada petani dan peladang

Meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi rakyat marhean khususnya petani, nelayan dan buruh menjadi keutamaan kerajaan BN semenjak dahulu. Sebaliknya kerajaan hari ini, saban hari memfokuskan rakyat kepada isu-isu kontroversi politik dan sengketa perebutan kuasa yang tidak berkesudahan. Pemimpin bersengketa berebut kuasa dan jawatan, rakyat menderita kerana kos sara hidup makin meningkat, pendapatan berkurangan, dibiarkan tanpa pembelaan. Sehingga rakyat dipersalahkan kerana kurang berbelanja dan berjimat menyebabkan ekonomi negara merudum.

Rakyat sudah meluat dengan orkestra politik bersengketa, berdamai, bersengketa yang tiada penghujungnya. Sepatutnya kerajaan mencari jalan penyelesaian dengan kedudukan ekonomi rakyat pada hari ini menunjukkan 75 peratus daripada rakyat tidak mampu mengeluarkan wang RM1,000 dalam keadaan mendesak dan lebih daripada 50 peratus rakyat pula akan kehabisan wang dalam masa seminggu selepas kehilangan sumber pendapatan yang menyaksikan 80 peratus daripadanya adalah Bumiputera.

Pengusaha perniagaan kecil dan sederhana Bumiputera juga mengalami kemelesetan dan penurunan pendapatan kerana persaingan dan kesan langsung revolusi industri 4.0. Perniagaan konversional tergugat apabila sistem jualan dan pembelian secara dalam talian mula menguasai pasaran tempatan. Langkah kerajaan mencadangkan cukai perniagaan dalam talian diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan negara adalah langkah yang baik, tetapi bagaimana pulak pembelaan kepada perniagaan Bumiputera?

Agen pengembaraan antara perniagaan yang mengalami kesan awal dari sistem perniagaan dalam talian. Apa jaminan kerajaan sistem perniagaan dalam talian tidak akan menjejaskan kepentingan agen pengembaraan yang bertaraf Bumiputera? Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PS 2.6) berkaitan dengan penggunaan Kad Kredit Korporat (KKK) yang membenarkan pembelian tiket kapal terbang secara dalam talian (online), bagi perjalanan rasmi pegawai kerajaan dalam dan luar negara menggunakan Kad Kredit Korporat dan tidak tertakluk dengan had nilai serta kaedah perolehan di bawah tatacara perolehan kerajaan yang berkuat kuasa sebelum ini, membuktikan kerajaan tidak prihatin dengan nasib agen pengembaraan Bumiputera.

Penggunaan KKK yang tidak tertakluk kepada kaedah tatacara perolehan kerajaan melanggar dasar kerajaan yang mewajibkan urusan rasmi kerajaan mestilah berurusan dengan agen pengembaraan yang berlesen, bertaraf bumiputera (100%) sebagai Service Provider bagi urusan rasmi perjalanan dan penginapan kerajaan. Saya menggesa Kementerian Kewangan menyemak kembali pekeliling tersebut yang terang-terangan melanggar dasar perolehan kerajaan dan menjejaskan pendapatan ribuan agen pengembaraan Bumiputera yang terlibat.

Kerajaan perlu tegas dengan agenda ekonomi Bumiputera. Mekanisma dan solusi terbaik perlu dicari supaya agenda ekonomi Bumiputera kekal relevan dan mampu bersaing di pasaran terbuka (online). Cukuplah menyibukkan rakyat dengan cerita sensasi dan kontroversi politik bertujuan untuk mengalih isu ketidakmampuan kerajaan menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

UMNO akan terus menjadi pemantau dan pendesak kepada pelaksanaan agenda ekonomi Bumiputera tanpa meminggirkan kaum yang lain. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggubal dan mengubah dasar dan akta yang berkaitan dengan agenda ekonomi Bumiputera, yang telah dipersetujui bersama tanpa sebab yang munasabah dan konkrit.

UMNO dan BN akan terus berusaha sedaya mungkin mencari kaedah dan pendekatan yang terbaik bagi meningkatkan sosio ekonomi rakyat. Tabung Dana UMNO (Crowd Funding) yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat akan menjadi tabung jihad ekonomi ahli UMNO bagi memastikan kelangsungan aktiviti politik parti dapat dilaksanakan dengan lancar. Manfaatnya bukan hanya untuk ahli UMNO, bahkan rakyat juga akan turut mendapat faedah daripada tabung dana ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.