BULAN Ogos cukup sinonim dengan bulan kemerdekaan, menjadi tradisi seluruh rakyat tanpa mengira peringkat umur mempamerkan semangat patriotik mereka dengan memperagakan pakaian beragam, memasang Jalur Gemilang, menganjurkan pidato kemerdekaan dan pelbagai aktiviti yang bertemakan patriotisme.
Patriotisme dikaitkan dengan nasionalisme, seolah-olah bersinonim antara satu sama lain. Nasionalisme lebih menjurus kepada ideologi yang memupuk nilai-nilai patriotik sebagai warganegara yang bekerja keras demi pembangunan negara, melindungi warisan dan budaya serta negara daripada dimusnahkan oleh anasir jahat dalam dan luar.
Demi semangat sayang dan cintakan tanah air, Nabi Ibrahim AS mendoakan kesejahteraan Kota Makkah seperti dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah, ketika Ibrahim berdoa: ‘Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian.” (Surah al-Baqarah, ayat 126)
Patriotisme mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan kelompok. Ketika peperangan, mungkin nyawa perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal patriotisme ekstrem. Pepatah Arab menyifatkan ‘hubbul watan minal iman’ cintakan negara adalah sebahagian daripada iman. Rasulullah SAW memperlihatkan bagaimana sebatinya nilai cinta dan sayang Baginda kepada tanah air dengan bersabda maksudnya: “Engkau wahai Makkah adalah satu bumi yang baik dan paling aku cintai, kalau sekiranya kaummu (pendudukmu) tidak mengeluarkan aku darimu, nescaya aku tidak akan tetap di mana-mana tempat selain daripadamu.” (Riwayat Tarmizi)
Namun, dengan pelbagai isu yang timbul pada hari ini, timbul satu persoalan masih kentalkah generasi hari ini bagi mempertahankan semangat patriotisme. Apa yang sering dibincangkan ialah semangat Negaraku yang kian luntur dalam kalangan generasi muda dan kecenderungan tinggi kepada ideologi Barat. Sejauh mana semua ini benar? Adalah tidak adil untuk kita menghukum generasi ini jika hanya segelintir daripada mereka yang lalai dan protes terhadap isu kenegaraan.
Adakah fenomena memasang Jalur Gemilang secara terbalik yang hangat diperdebatkan sesuatu yang disengajakan atau sebaliknya? Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan negara yang menyatukan rakyat. Bagi mereka yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi pastinya tercabar dan tidak sanggup melihat Jalur Gemilang dihina sebegitu rupa. Hanya mereka yang mempunyai jiwa merdeka yang keliru dan songsang sahaja sanggup melihat simbol kedaulatan negaranya diterbalikkan dan dihina. Saya menggesa kerajaan memandang serius perkara ini supaya insiden seperti ini tidak lagi berulang. Tindakan tegas perlu diambil bukan memadai dengan permohonan maaf sahaja.
Mereka yang berjiwa merdeka dan patriotisme akan menghargai sejarah, pahit getir dan kegigihan perjuangan generasi terdahulu memerdekakan negara. Malangnya, ada sesetengah pihak yang cuba mengubah fakta sejarah untuk mengelirukan generasi muda dengan maklumat dan informasi songsang yang menimbulkan kesangsian kepada fakta sebenar dan sejarah. Saya khuatir jika tiada pemantauan yang serius daripada kerajaan dibimbangi akan mewujudkan lebih ramai lagi jiwa merdeka yang keliru.
Sejarah tidak pernah menipu, walaupun wujud usaha mengelirukan rakyat dengan mengiktiraf pejuang Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) atau Pasukan Tentera Anti-Jepun sebagai wira dan wirawati negara. Apakah MPAJA adalah sebahagian daripada sejarah pasukan keselamatan negara membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan? Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, berkata dalam satu temuramah di TV3 bahawa “… rentetan pengharaman MPAJA dan aktivitinya oleh kerajaan, antara lain, MPAJA ketika itu memang menentang penjajahan British kerana ingin ‘membebaskan’ Malaya dan menjadikan negara ini sebagai wilayah komunis”.
Menurut Dr. Nazarudin Zainun, Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (bahagian sejarah) USM “MPAJA adalah sebuah gerakan bersenjata yang ditubuhkan BUKAN bertujuan untuk mempertahankan Tanah Melayu sebagai tanah air…” Menurutnya lagi “anggota MPAJA tidak sesuai dikategorikan sebagai perajurit negara….”. Namun, tidak dinafikan peranan yang dimainkan oleh orang Cina dan India dalam menuntut kemerdekaan negara. Penglibatan dan sumbangan Tun HS Lee, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan dan lain-lain tidak boleh diperkecilkan.
Sebagai rakyat yang berjiwa patrotik, pastinya kita terusik dan bersimpati dengan nasib yang melanda Utusan sebagai akhbar Melayu tertua berusia 80 tahun. Peranan dan jasa Utusan yang sangat sinonim dengan sejarah negara, menjadi medium melaporkan lipatan sejarah, menjadi lidah dan suara yang memperjuangkan untung nasib rakyat marhaen dan melaporkan perkembangan terkini isu-isu negara. Namun, ada juga kenyataan sinis daripada warganet dan individu tertentu dengan nasib yang menimpa Utusan.
Atas rasa simpati dan prihatin, UMNO dengan keterbatasan dan kekangan kewangan telah sedayanya membantu Utusan dan kakitangannya bagi memastikan kesinambungan dan operasinya dapat diteruskan. Saya menyeru kepada seluruh rakyat yang prihatin dan patriotik marilah kita bersama-sama mendokong akhbar ini dengan melanggannya secara online atau offline dan menjadikannya sebagai akhbar pilihan dan ilmu.
Patriotisme lahir daripada jiwa merdeka yang tenang, bukan daripada jiwa yang keliru dan songsang. Perlembagaan negara dan kontrak sosial yang telah disepakati bersama dihormati dan dijunjung bukannya diperlekeh dan dipertikai membabi- buta. Kita semai dan suburkan semangat patriotik dengan fakta bukan auta, agar semangat patriotisme lahir daripada dedikasi yang tenang dan stabil bukan daripada emosi yang tidak terurus. Adlai E.Stevenson II (ahli politik Amerika Syarikat 1900-1965) pernah berkata: “Patriotisme bukan cetusan pendek dan penuh emosi tetapi dedikasi yang tenang dan mantap seumur hidup”.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan