IPCMC – Ketidakadilan Buat Anggota Polis

ADAKAH perlu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku, IPCMC ditubuhkan oleh kerajaan PH?

Tujuan IPCMC adalah untuk mengawal salah laku polis dan hukuman terhadap mereka.

Persoalannya kenapa hanya untuk polis dan tidak untuk agensi penguatkuasaan yang lain?

Di dalam Jabatan Polis pun sudah ada 3 badan yang menjaga dan mengawal salah laku pihak polis dan sebagainya iaitu Jabatan Integriti dan Peraturan Standard, Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib 1993 dan yang paling penting adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Polis yang termaktub di dalam Artikel Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan siasatan dan juga tindakan tatatertib terhadap polis. Malah terdapat Agensi dan NGO lain yang mengawasi PDRM seperti SPRM, SUHAKAM, SUARAM dan lain-lain.

Adakah kerajaan PH menganggap badan-badan ini gagal sehingga mengusulkan cadangan untuk menubuhkan IPCMC?

Kita juga mempersoalkan kebebasan IPCMC kerana lantikan Ahli Suruhanjaya oleh YDP Agung adalah di atas nasihat YAB Perdana Menteri. Tidak ada kriteria dan syarat untuk menjadi Ahli Suruhanjaya IPCMC. Maka terpulang kepada Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja. Mungkin ahli politik dari parti tertentu atau NGO yang menentang polis selama ini. Maka suruhanjaya ini tidak akan bebas membuat keputusan atau terikat dengan agenda-agenda tertentu.

Kerajaan sudah mempunyai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk mengawasi dan mengambil tindakan terhadap 21 agensi penguatkuasaan di jabatan atau kementerian termasuk PDRM. Oleh itu tidak perlu lagi diwujudkan suruhanjaya yang baru khusus untuk polis seperti IPCMC.

Kerajaan seharusnya memperkasakan serta menambah baik EAIC ini.

Kita mencadangkan kerajaan membuat kajian menyeluruh terhadap PDRM iaitu bukan sahaja terhadap isu salah laku malah isu yang lebih besar iaitu kebajikan anggota polis dan keluarga mereka seperti isu gaji, perumahan, kenderaan polis, penambahbaikkan balai dan lain-lain.

Kita sebagai rakyat seharusnya terhutang budi dengan pengorbanan anggota polis serta keluarga yang menggadaikan masa dan nyawa mereka bagi menjaga kita semua. Oleh itu janganlah sesekali melakukan perkara yang boleh meruntunkan semangat mereka seperti pengujudan IPCMC ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Naib Presiden UMNO
Ketua Pembangkang

08 Okt 2019


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.