Terima Kasih, Utusan Malaysia

Hari ini adalah hari terakhir bagi Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad atau Utusan Malaysia beroperasi.

Utusan Malaysia atau dahulu dikenali sebagai Utusan Melayu, merupakan suara rasmi bangsa. Kini, ia tidak bersuara lagi, buat selamanya. Setelah lebih 80 tahun menjadi korpus ilmu serta pusat penyebaran buah fikiran Melayu, kini kita telah kehilangan salah satu institusi Melayu dalam kekecamukan modernisasi.

Dimulai oleh Yusof Ishak, Abdul Rahim Kajai dan 20 orang lagi penulis terawal Utusan Melayu (ketika itu), mereka telah berjaya mewujudkan akhbar pertama yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu.

Sesungguhnya, ia merupakan satu kehilangan yang besar bukan sahaja bagi warga kewartawanan dan media, tetapi juga kepada bangsa Melayu umumnya. Akhbar inilah yang dengan konsisten serta ikhlas menaikkan semangat nasionalisme Melayu sejak Mei 1939 lagi. Akhbar ini jugalah yang aktif menyebarluaskan idealisme serta saranan-saranan pendiri bangsa agar orang Melayu sentiasa celik pada pengetahuan dan peka pada perubahan serantau.

Kepada semua tenaga kerja Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad atau Utusan Malaysia, terima kasih kerana anda terus setia hingga ke akhirnya. Semoga roh intelektualisme dan kewartawanan Melayu tidak hilang meskipun di mana anda semua berada. Saya percaya, ini bukanlah satu pengakhiran. Ini adalah sebuah permulaan dalam perjalanan pemerkasaan bangsa yang panjang dan berliku.

Pada masa akan datang, sekiranya Utusan Malaysia diambil alih oleh mana-mana pihak, saya mengharapkan yang pemilik barunya akan berjaya memberikan sentuhan baharu dan segar agar ia mampu bangkit kembali sebagai salah satu akhbar arus perdana yang penting kepada negara dan bangsa. Terutamanya dalam menjadikan akhbar ini suara yang waras, berpendirian dan lantang untuk orang Melayu serta sebagai satu wadah pemberdayaan intelek bangsa.

Terima kasih, Utusan Malaysia.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Naib Presiden UMNO
Ketua Pembangkang
Ahli Parlimen Bera


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.