Pembentangan Bajet 2020 dengan peruntukan sebanyak RM297 bilion semalam tidak banyak berbeza dengan Bajet 2019. Ini merupakan peningkatan sebanyak RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion bagi 2019.
Dalam Bajet 2019 Kerajaan membuat anggaran peruntukan berdasarkan harga purata minyak mentah AS$70 setong. Bagaimanapun pada masa kini harga minyak mentah hanya berlegar sekitar AS$55-60 setong. Bagi bajet 2020 ini Kerajaan menganggarkan harga minyak sekitar AS$62 setong ( keep your fingers crossed Guan Eng)
Dalam masa yang sama, Malaysia juga berhadapan kejatuhan eksport dan harga minyak sawit. Ini semua menjejaskan sumber pendapatan negara pada tahun 2019 dan dijangka berterusan pada 2020.
Justeru peningkatan peruntukan hampir RM20 bilion dalam Bajet 2020 menimbulkan kecurigaan rakyat, mengenai kemampuan kerajaan merealisasikan semua peruntukan, yang diumumkan berdasarkan sumber-sumber lain.( nak naik cukai atau buat cukai barulah agaknya tu)
Kerajaan juga sudah pun menyatakan hasrat, untuk mnerbitkan bon samurai( berhutang dengan negara Jopon) lagi pada tahun hadapan. Penerbitan bon-bon samurai ini jika tidak diurus dengan baik akan menjadi satu beban kewangan kepada kerajaan pada masa hadapan, terutama jika Ringgit lemah dan Yen tinggi ketika tempoh matang bon.
Dalam keadaan Menteri Kewangan, beberapa kali menyebut kerajaan berhadapan dengan beban hutang kerajaan lalu, rupanya beliau juga membuat hutang yang akan membeban generasi akan datang pula.
Berita Harian Online memetik laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka membuat pinjaman kasar, pada tahun ini, sebanyak RM135.2 bilion atau 8.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Daripada jumlah itu sebanyak RM83.3 bilion digunakan untuk membayar semula hutang sedia ada, manakala bakinya untuk pembiayaan defisit sebanyak RM51.8 bilion.
Dengan kata lain kerajaan bayar hutang sebanyak RM83.3 bilion, tetapi dalam masa yang sama, berhutang semula RM135.2 bilion. Jadi bagaimana kerajaan PH boleh mengurangkan hutang negara.
Ini mengingatkan saya kepada lagu lama , ‘gali lubang, tutup lubang’ oleh Saleh Yaakob yang menceritakan kisah orang yang berhutang, meminjam pula dengan orang lain, untuk membayar hutang sebelumnya.
Apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan membuat lubang yang lebih besar, bagi menutup lubang kecil. Jika ini tidak diuruskan dengan betul, kita khuatir pada masa hadapan kita semua akan masuk lubang yang lobih bosar yang digali kerajaan PH.
Namun dalam masa yang sama saya mengalu-alukan pemberian insentif dan bantuan, kepada rakyat B40, dan insentif menggalakan penggajian rakyat tempatan, yang dirancang dalam Bajet 2020.
Cabaran terbesar dalam sesuatu penyediaan bajet bukanlah pembentangan, tetapi pelaksanaannya.
Harapan kita ialah, bajet ini TIDAK mengulangi pencapaian bajet tahun lalu, yang jelas TERSASAR dari matlamat…
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO