Elakkan Tersungkur Dengan Propaganda Politik

Propaganda politik ialah senjata yang paling ampuh dan efektif digunakan untuk mendapatkan keuntungan politik dan sekaligus menjatuhkan kredibiliti lawan politik yang dilakukan secara konsisten (repetitive action).

Melalui propaganda kebencian bertukar kepada kasih sayang, perseteruan kepada kerjasama, kebenaran kepada pembohongan, fakta kepada auta, persahabatan kepada permusuhan semuanya hasil daripada manipulasi propaganda politik.

Secara konseptual, propaganda adalah rangkaian yang bertujuan untuk mempengaruhi, tidak menyampaikan informasi dan maklumat secara tepat dan berfakta, tetapi memberikan informasi dan maklumat yang dirancang untuk mempengaruhi pihak yang mendengar atau melihatnya.

Sejarah propaganda membuktikan terdapat tiga negara yang menjadi refleksi bagi negara lain dalam merancang model propaganda politik dan strategi iaitu Jerman, Kesatuan Soviet (Rusia) dan Jepun. Model Propaganda Hitler hingga kini masih menjadi empirikal kajian kalangan akademik, bagaimana Hitler mampu mempengaruhi bangsa Jerman dengan fahaman Nazi? Apakah bentuk propaganda politik Hitler dan menteri propagandanya Joseph Goebbels gunakan bagi menerapkan fahaman Nazi dan mengekalkan kuasanya?

Adakah pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah dan institusi pendidikan boleh dikatogerikan sebagai propaganda politik bagi mempengaruhi pelajar seawal di sekolah rendah dan menengah? Komik terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia, diterbitkan pada April 2019, dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris telah menimbulkan kegelisahan dan keresahan di kalangan rakyat. Saya difahamkan, komik berkenaan menyertakan propaganda yang mengagung-agungkan parti DAP, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis serta memburuk-burukkan kerajaan terdahulu.

Walaupun ada pihak berkepentingan politik yang mempertahankan penerbitan dan pengedaran komik ini, aspek keselamatan yang membabitkan sensitiviti rakyat tidak boleh dikomporomi dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan diperjudikan keharmonian dan kerukunan hidup rakyat dengan propaganda politik murahan seperti ini.

Menyedari sensitiviti dan seriusnya isu ini, desakan demi desakan telah dibuat. Blok pembangkang telah memainkan peranan aktif dan berusaha mengusulkan agar isu ini dibahaskan di parlimen, walaupun akhirnya ditolak atas sebab-sebab yang tidak munasabah. Sekalung tahniah dirakamkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas ketegasan mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan dan pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris ‘Belt & Road Initiative For Win-Winism’ dan versi bahasa Cina melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019. Warta Perintah Larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memastikan pengedaran komik tersebut ke sekolah-sekolah dihentikan segera dan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang perlu diambil kepada yang ingkar tanpa mengira fahaman politik dan parti.

Pengkhianatan juga menjadi juzu’ (cabang) propaganda politik, tidak kira samada pengkhianatan dari dalam atau luar. Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W menyebutkan orang beriman akan diuji dengan lima golongan, antaranya Munafik yang benci kepadanya. Golongan ini akan sentiasa ada sepanjang zaman. Mereka berada bersama kamu tanpa sedikit pun dicurigai kecuali setelah mereka berjaya berada pada posisi yang sukar digugat.

Mengikut catatan sejarah, kejayaan serangan Monggol terhadap umat Islam, antaranya berpunca daripada tiga individu yang menjadi dalang dan tali barut kepada tentera Tatar. Mereka berpakat dan menggadaikan nyawa jutaan umat Islam demi survival diri sendiri, akhirnya mereka juga menjadi korban dek kebodohan sendiri.

Raja Kaikawus Sani dan Raja Qalaj Arsalan ke-4, merupakan Raja di Wilayah Anatolia, Turki antara yang memberi laluan mudah untuk tentera Monggol masuk menyerang. Begitu juga Raja Badaruddin Lu`lu yang merupakan Raja bagi Wilayah Mosul turut melakukan perkara yang sama kerana termakan janji-janji manis oleh musuh tanpa mereka sedari bahawa Tatar tidak pernah menepati janjinya!

Benteng umat Islam yang terakhir di Kota Baghdad ialah Muayiduddin al-Alqami yang merupakan penasihat kepada Sultan al-Musta`sim. Tanpa diketahui oleh Sultan, al-Alqami membuat perjanjian awal dengan Tatar dan dimaklumkan kepada Sultan bahawa Tatar menjanjikan keamanan kepada Baghdad. Akhirnya Kota Baghdad ranap kerana pengkhianatan al-AlQami ditambah dengan kebodohan Sultan yang tidak mempunyai pengetahuan politik dan strategi peperangan.

Memetik kata-kata Dr Raghib as-Sarjani ‘Penyakit umat Islam yang paling parah pada waktu itu ialah buta dalam politik (Political strabism) yang dahsyat. Pemerintah dan rakyat langsung tidak tahu apakah yang sepatutnya mereka lakukan untuk menghalang Tatar kerana tidak pernah didedahkan dengan ilmu Jihad dan perjuangan yang sebenar sejak sekian lama! Realiti itu juga kita hadapi dewasa ini apabila anak muda ramai yang tidak minat untuk terlibat dengan politik Islam yang sebenar kerana mereka jemu dan jelek dengan kebobrokan yang berlaku dalam dunia. Akibatnya, sang politikus dan golongan Pragmatis terus mendapat tempat dan melakukan kerosakan’.

Dek kerana pengkhianat dan masalah politik dalaman Kota Baghdad dan ketamadunannya tergadai. Dek kerana terpengaruh dengan propaganda lawan prinsip perjuangan dikorbankan. Pengkhianatan tetap berlaku dalam pelbagai watak di dalam suasana berbeza pada setiap zaman.

Saya berkeyakinan, pengkhianatan mampu diatasi dengan ‘Prinsip Perjuangan’. Setiap kali bertemu pimpinan dan ahli UMNO, soal Prinsip perjuangan saya tekankan. Inilah senjata kita dalam menghadapi propaganda politik. Jika tanpa prinsip perjuangan sudah lama UMNO ditalkinkan, kerana prinsiplah UMNO tetap relevan di persada politik dulu, kini dan selamanya. Prinsip perjuangan juga yang menjadi titik tolak Muafakat Nasional yang sama-sama kita usahakan dan pertahankan hari ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#muafakatnasional
#demiummah
#akhiratdidepan


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.