Terima kasih saya ucapkan, pertama-tamanya kepada Saudara Mohd Muzzammil Ismail kerana menulis surat terbuka tersebut. Anak muda adalah tunjang kepada kelangsungan politik Melayu-Islam yang sederhana, tetapi anak muda yang matang dan objektif adalah sedikit dan amat jarang kita jumpa.
Ada beberapa perkara yang ingin saya sampaikan kepada saudara, terutama sekali berkenaan surat terbuka tersebut.
Pertama, saya langsung tidak menyangkal bahawa orang Melayu harus bersatu. Asas kepada kemajuan intelek, paradigma dan ekonomi orang Melayu adalah kita bersatu dengan tekad dan iltizam yang sama lagi kuat. Namun begitu, harus kita ingat bahawa penyatuan Melayu harus dipimpin, diusahakan dan direncanakan dengan teliti, oleh mereka yang paling jujur dan ikhlas. Bukan untuk kuasa, tetapi untuk menjayakan usaha pengislahan bangsa yang besar lagi mendasar ini.
Mungkin Saudara Muzzammil masih lagi mentah untuk mengerti, dan membezakan yang mana permata dan yang mana pula kaca. Tidak semua mereka yang berteriak tentang penyatuan Melayu kisah dan ambil berat benar tentang orang Melayu. Ada mereka yang berkata demikian hanya sekadar untuk kuasa atau menyelamatkan pekung diri sendiri. Ingatlah Saudara Muzzammil, Melayu tidak perlukan bukan sahaja pengadu domba, tetapi pejuang olok-olok, yang menggunakan premis ‘penyatuan Melayu’ demi kepentingan diri sendiri.
Kedua, perubahan dalam UMNO sedang berlaku sekarang, dengan teliti dan terancang. Tetapi apa pula pelan kelangsungan bagi BERSATU?
Adakah saudara sedar akan keadaan BERSATU pasca Tun Mahathir kelak? Adakah saudara sedar akan sikap ahli-ahli BERSATU yang masih lagi bergantung hidup dengan amalan ‘patronage politics’ yang selalu dikeji oleh Ketua Armada BERSATU sendiri? Adakah saudara sedar akan betapa naif serta amaturnya menteri dan kepimpinan akar umbi BERSATU dalam kabinet Malaysia?
Dan atas sebab-sebab di atas, orang Melayu dan institusi politiknya dipandang rendah dan sering dipermainkan oleh bangsa lain, kerana sikap kebudak-budakan menteri dan ahli politik BERSATU sendiri.
Namun yang pasti, jika penyatuan Melayu adalah satu yang BERSATU benar-benar dambakan, BERSATU tidak akan pernah sanggup bekerjasama dengan DAP. Akibatnya, BERSATU gagal mengawal penyebaran agenda Malaysian Malaysia yang kian membarahi pemikiran penyokong serta pembuat dasar Pakatan Harapan. Bukan itu sahaja, BERSATU juga sekali lagi tidak berupaya menawarkan alternatif dan hujahan balas bagi mengekang Malaysian Malaysia. Jika ada pun, ia dipinggirkan dan dipandang sepi kerana tidak datang dari kelompok ‘elit politik’ BERSATU sendiri.
Ya, seperti yang saudara tuliskan, DAP yang meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Mungkin juga DAP tahu Tun Mahathir dan BERSATU tidak mampu untuk mengawal mereka sebagai satu gerakan cauvinis anti-Melayu dan anti-Islam. Maka berbahagialah DAP.
Ketiga, penyatuan Melayu harus menjangkaui pentadbiran Tun Mahathir dan juga penyokong-penyokong beliau yang oportunis dan gilakan kuasa. Penyatuan Melayu haruslah datang dari gerakan masa orang Melayu sendiri. Ia harus ‘dimilik-Melayukan’, tanpa membelakangkan citra Malaysia yang majmuk dan pelbagai.
Mungkin juga Saudara Muzzammil keliru dan tidak tahu tentang politik konsensus Barisan Nasional, yang telah terbukti memberikan keadilan sosial serta politik di Malaysia selama enam dekad lamanya. Pencalonan Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng langsung tidak mematahkan momentum Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah Melayu-Islam. Malah ia telah membuktikan bahawa Melayu-Islam adalah elektorat yang rasional dan bijak dalam mencatur perjuangan mempertahan kepentingan mereka yang BERSATU gagal juarai kini.
Saya doakan agar Saudara Muzzammil dan anak muda di dalam Armada BERSATU sedar bahawa, orang Melayu hanya akan berbondong-bondong membentuk satu penyatuan yang besar jika BERSATU benar-benar keluar dari kepompong DAP. Sehingga itu berlaku, hasrat untuk menyatukan bangsa adalah sekadar menyelamatkan parti BERSATU dan Tun Mahathir dari terkubur dek arus deras gerakan Malaysian Malaysia bawaan DAP serta sekutunya.
Mohamed Khaled Nordin (MKN)
Naib Presiden UMNO
3 November 2019