Gagal Tunai Janji Hapus Tol, Wujud Pula Sistem Tol Susahkan Pengguna Jalan Raya

Saya semak di media sosial, ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan implementasi baru PLUS yang tidak membenarkan tambah nilai Touch N Go di exit lebuhraya mereka.

Pembayaran tol tanpa tunai mungkin kedengaran bagus namun ia adalah masa yang tidak sesuai dilakukan ketika ini tatkala kemudahan tambah nilai yang ada di Malaysia belum lengkap dan efektif sepenuhnya.

Malah, saya dimaklumkan perkhidmatan tambah nilai Touch N Go dalam talian iaitu e-wallet, juga tidak dikuatkuasakan di kesemua exit tol menyebabkan pengguna tidak boleh ‘keluar’ dari lebuh raya.

Ada juga yang terpaksa meninggalkan kereta di plaza tol dan berjalan kaki untuk ke stesen minyak berdekatan bagi mendapatkan tambah nilai Touch N Go.

Ada juga yang datang dari luar bandar dan menempuhi lebuh raya PLUS di Lembah Klang tidak mengetahui bahawa mereka perlu melalui tol tanpa bayaran tunai. Orang-orang kampung terpinga-pinga kerana tidak mendapat maklumat secukupnya dan tidak pasti cara untuk menambah nilai Touch N Go mereka.

Ini bukan negara yang berkebajikan dan efektif, ini menganiayai rakyat.

Sehingga hari ini tiada seorang pun menteri bersuara termasuk Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Menteri Kewangan yang terlibat dengan PLUS juga banyak berdiam diri dan menikus di Putrajaya.

Saya hairan sejak Pakatan Harapan memerintah, ada sahaja perkara yang menyusahkan rakyat dan merugikan negara, tidak termasuk isu-isu lain yang penuh dengan cadangan dan keputusan kerajaan yang sangat caca marba!

Sudah lah janji nak hapuskan tol tidak ditunaikan, sebaliknya menghapuskan tambah nilai di kesemua plaza tol! Janji hanya tinggal janji, yang tinggal hanyalah ‘janji dapat menyusahkan rakyat!’

Saya juga memohon pihak PLUS untuk melihat semula perkara ini dan jangan mementingkan diri.

Pihak PLUS perlu laksanakan sistem tambah nilai yang efektif terlebih dahulu dan pastikan gerak kerja penyampaian maklumat yang berkesan sebelum mengambil sebarang keputusan yang melibatkan rakyat di negara kita.

Oleh kerana kerajaan PH GAGAL HAPUSKAN TOL, jangan pula PLUS bertindak sesuka hati menyusahkan pengguna jalan raya iaitu rakyat di negara ini.

#bubarparlimen

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Naib Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.