Masih Wujud Pihak Yang Jahil Identiti, Semangat Jalur Gemilang Dan Bahasa Kebangsaan

Kontroversi jumlah bucu bintang dalam grafik bendera Malaysia yang dipaparkan pada skrin semasa Majlis Perasmian Kejohanan Bola Keranjang MABA ke 28 semalam menunjukkan masih ada rakyat yang tidak menghayati jati diri dan identiti negara kita.

Adalah sangat mengecewakan setelah lebih 62 tahun kita merdeka masih ada yang jahil mengenai identiti dan semangat sebenar di sebalik bendera Malaysia.

Bulan sabit dan bintang pada bendera Malaysia melambangkan kedudukan agama Islam di negara ini. Manakala 14 bucu dalam bintang mewakili 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan. Secara tersirat 14 bucu bintang membawa maksud kesemua negeri-negeri ini turut mengakui kedudukan Islam di negara ini.

Walaupun ada tanggapan bahawa rekabentuk bintang berbucu lima ini satu tindakan perkauman atau bersifat komunisme, saya fikir ia lebih kepada faktor ‘ignorance’ atau jahil. Kejahilan ini kerana kita tidak mengambil berat dan benar-benar sayang kepada negara ini. Kita mengambil mudah segala kemakmuran yang kita kecapi sejak berpuluh tahun lalu.

Terima kasih kepada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) yang dengan pantas memohon maaf semalam.

Namun MABA juga perlu sedar bahawa rakyat di negara ini mempunyai asas untuk mencurigai kejadian semalam.

Ini kerana MABA sendiri dilihat dimonopoli oleh kaum tertentu dan tidak menghormati identiti negara ini.

Akaun media sosial Facebook MABA hanya memaparkan bahasa Inggeris dan Mandarin. Poster kejohanan hanya membesarkan bahasa Inggeris dan Mandarin.

Khabarnya majlis semalam juga tidak dijalankan dalam bahasa kebangsaan walaupun ia hanyalah kejohanan tempatan untuk pemain bawah umur 15 tahun.

Lebih memalukan permohonan maaf MABA juga hanya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Jadi jika MABA mahu kemaafan dari rakyat negara ini, mereka juga harus menunjukkan contoh teladan yang baik dengan menghormati bahasa kebangsaan dan Jalur Gemilang.

Datuk Seri Utama Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.