Ulasan Belanjawan Johor 2020

1. Sekarang ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sedang rancak membahaskan Belanjawan Negeri Johor 2020 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar, YAB Dato’ Dr. Sharuddin Jamal minggu lalu.

2. Terdapat beberapa perkara yang boleh diperhatikan dalam belanjawan negara pada kali ini.

3. Pertama, tiada akauntabiliti dan kelestarian dalam melaksanakan janji Belanjawan Johor 2019.

4. Ucapan Belanjawan Johor 2020 hanya menyatakan dengan begitu ringkas bahawa “sehingga 15 November 2019, sebanyak 194 titik fokus telah dilaksanakan, manakala baki sebanyak 13 titik fokus di dalam tindakan awal pelaksanaan”.

5. Beliau sebaiknya menjelaskan impak perlaksanaan polisi-polisi ini dan bilangan rakyat Johor yang telah dimanfaatkan daripada peruntukan dalam Belanjawan 2019. Kerajaan Negeri PH sepatutnya mengeluarkan laporan prestasi Belanjawan 2019 yang komprehensif.

6. Misalnya, Kerajaan Negeri tidak sedikit pun melaporkan kepada rakyat hasil kajian yang menelan kos RM5 juta mengenai lapangan terbang di Mersing.

7. Apakah hasil kajian yang sepatutnya mengenal pasti kesesuaian tapak projek dan rangkaian penghubungan darat ini? Lebih mengejutkan, peruntukan rancangan pembinaan Lapangan Terbang Mersing ini tidak disebut langsung dalam Belanjawan Johor 2020.

8. Adakah ini bermaksud Kerajaan Negeri PH tidak dapat meneruskan rancangannya untuk memartabatkan pengangkutan Daerah Mersing? Jadi, apa yang sudah berlaku dengan peruntukan RM5 juta tersebut? Adakah ia tidak dipedulikan kerana perkara tersebut diumumkan oleh YAB Menteri Besar sebelum ini?

9. Kita boleh menyimpulkan bahawa dua orang Menteri Besar Johor dari Pakatan Harapan ini masing-masing membawa haluan sendiri. Tidak ada kesinambungan dalam perancangan negeri.

10. Kedua, Perbelanjaan Pembangunan yang tidak efektif.

11. Pembentangan Belanjawan Johor 2020 menunjukkan prestasi Perbelanjaan Mengurus telah mencapai 92.99% daripada RM1,549.34 juta yang diperuntukkan pada tahun 2019. Namun, Perbelanjaan Pembangunan hanya mencapai 68% daripada RM600 juta yang diperuntukkan.

12. Keadaan ini sudah tentu amat membimbangkan. Tahun 2019 bakal berakhir sebulan lebih sahaja lagi. Jadi, bagaimanakah Kerajaan Negeri akan melaburkan 32% atau nilai mutlak RM192 juta untuk tujuan perkhidmatan ekonomi, perkhidmatan sosial dan keselamatan?

13. Perbelanjaan Pembangunan amat penting dan jika jumlah RM192 juta ini tidak dibelanjakan untuk pembangunan rakyat Johor, apakah rasional di sebalik kenaikan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan tahun 2020 sebanyak RM180 juta yang menjadikannya RM780 juta?

14. Perlukah kenaikan ini disifatkan sebagai kosmetik dan bukannya dibelanjakan demi memanfaatkan rakyat Johor pada tahun 2020?

15. Ketiga, tiada persediaan dan pelan tindakan strategik untuk berhadapan dengan kelembapan ekonomi serta kemerosotan peluang pendapatan.

16. Kemerosotan dan kelembapan ekonomi pada tahun hadapan boleh dibuktikan dengan merujuk kepada beberapa perkara. Antaranya:

a. Penilaian oleh Penasihat Persatuan PKS Johor Selatan, Tee Kee Sin, melaporkan bahawa pertumbuhan ekonomi Johor dijangka terus merosot pada tahun 2020 akibat kemelesetan Singapura berikutan kejatuhan besar dalam aktiviti ekonomi republik tersebut pada suku kedua tahun 2019.

b. Pertumbuhan KDNK per kapita meningkat RM2,428 (4.7%) pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya. Namun, pada tahun 2018, KDNK per kapita hanya meningkat RM1,072 (3.0%) berbanding tahun 2017.

c. Daripada perspektif prestasi pelancongan, bilangan pelawat domestik ke Negeri Johor pada tahun 2018 hanya meningkat 346,000 pelawat (2.6%) berbanding tahun sebelumnya. Angka adalah peningkatan yang jauh lebih rendah berbanding tahun 2017 iaitu seramai 934,000 (7.7%).

d. Bilangan penginap hotel keseluruhan hanya meningkat 211,900 (2.9%). Manakala pelancong antarabangsa yang menginap di hotel menurun sebanyak 9,700 (0.4%) pada tahun 2018 berbanding tahun 2017.

e. Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dilaporkan oleh Menteri Kewangan, jumlah ketibaan dan hasil terimaan pelancong antarabangsa dijangka mendatar. Perkara ini berpunca daripada penyusutan bilangan pelancong Singapura ke Malaysia dari 12.4 juta pada tahun 2017 kepada 10.6 juta pada tahun 2018, berikutan kesesakan di pintu masuk utama Johor.

17. Kesemua ini akan memberikan cabaran kepada ekonomi Johor. Malah, jika Singapura benar-benar berhadapan dengan ekonomi yang sukar pada tahun 2020, bukankah seramai kira-kira 350 ribu rakyat Malaysia yang bekerja di sana akan turut terjejas?

18. Justeru, berdasarkan segala petanda ini, apakah pelan dan rancangan strategik Kerajaan Negeri untuk berhadapan dengan semua itu?

19. Malangnya, kita tidak mendengar sebarang perhatian serius diberikan dalam aspek ini. Sedangkan tahun 2020, bukan sahaja Tahun Melawat Malaysia, malah Tahun Melawat Johor.

20. Keempat, tiada hala tuju negeri yang jelas dan perancangan program yang teliti.

21. Kita menjangkakan akan wujud pelan tindakan serta strategi pengimplementasian Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2019-2030 yang diumumkan pelancarannya pada 18 Ogos 2018 tahun lepas.

22. Namun, Menteri Besar Johor mengumumkan dalam ucapan Belanjawan Johor 2020 bahawa pelan ini rupanya baharu pada peringkat akhir penyediaan.

23. Perkara ini menunjukkan 2 perkara. Pertama, semasa ia diumumkan sebagai sebuah ‘pelan’ ekonomi sebelum ini, sebenarnya belum ada apa-apa kajian mahupun pengisian yang difikirkan. Ia diumumkan hanya sekadar penyedap telinga bagi mengampu desakan serta tuntutan rakyat kepada Kerajaan Negeri.

24. Kedua, apabila dia diumumkan terlebih dahulu tanpa sebarang pengisian dan sandaran, bukankah ini tidak ubah seperti satu gimik politik semata-mata? Adakah masa depan ekonomi Johor ini tidak lebih dari sekadar gimik politik yang boleh dibuat olok-olok? Jadi, bilakah pelan sebenar akan dibentangkan?

25. Malah, Belanjawan Johor 2020 dan juga Belanjawan Persekutuan 2020 langsung tidak menyebut apa-apa tentang Pelan Pembangunan Koridor Ekonomi Baru Johor yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi semasa kempen Pilihan Raya Kecil tanjung Piai baru-baru ini. Jadi, adakah ini bermakna, sekali lagi pembangunan ekonomi Johor ini tidak lebih dari sekadar modal politik sahaja?

26. Barangkali atas sebab itulah, kerana ketandusan idea sendiri dan atas dasar merit dan prestasi yang terbukti, Menteri Besar Johor Kedua PH terpaksa meninggalkan perkara-perkara yang cuba dibuat oleh Menteri Besar Pertama mereka dan meneruskan inisiatif baik yang dimulakan semasa pemerintahan zaman pembangkang BN.

27. Antaranya, Program Titanuim 2020 (Ti20), operasi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dengan libatsama Saudi Aramco, Program Pembangunan Karakter Murid Johor, pemberian Biasiswa Dato’ Onn, dan Program Bandar Selamat.

28. Kelima, Belanjawan Johor 2020 memperuntukkan perbelanjaan yang kecil untuk menangani kos sara hidup dan kumpulan sasaran tertentu.

29. Misalnya, hanya RM1,000 diperuntukkan untuk 1,513 nelayan Selatan Johor. Peruntukan ini adalah separuh daripada RM2,000 yang dijanjikan untuk 1,834 nelayan dalam Belanjawan BN 2018.

30. Malah, untuk aktiviti pertanian bandar pula, hanya RM1 juta diberikan sedangkan peruntukan bagi menggalakkan aktiviti pertanian bandar adalah tiga kali ganda lebih tinggi (RM3 juta) dalam Belanjawan BN 2018.

31. Di manakah bantuan untuk golongan penoreh getah? Perkara ini tidak dinyatakan dalam Belanjawan Johor 2020 walaupun statistik terus menunjukkan penurunan harga komoditi getah semasa zaman Pakatan Harapan.

32. Sedangkan pada zaman BN, kita memberikan bantuan ini biarpun harga getah pada masa tersebut adalah lebih baik. Misalnya, semasa zaman BN (2017 – April 2018), harga purata bulanan getah SMR20 adalah RM6.67/kg. Harga ini adalah 19% lebih tinggi daripada RM5.60/kg pada zaman PH (Mei 2018 – Nov 2019). Ini menunjukkan 28% lebih tinggi harga purata bulanan getah lateks pukal pada RM5.60/kg semasa zaman BN (2018 – Apr 2018) berbanding RM4.38/kg semasa zaman PH.

33. Berdasarkan pemerhatian kasar ini, saya boleh menyimpulkan beberapa perkara. Pertama, tidak berlaku kesinambungan antara pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun lepas dan tahun ini.

34. Kedua, tidak wujud sebarang idea baharu dan inisiatif besar untuk melonjakkan Johor menjadi ekonomi termaju di Malaysia. Malah, tidak wujud persediaan yang secukupnya untuk berhadapan dengan ekonomi yang perlahan dan tidak menentu pada tahun hadapan. Dan ketiga, Belanjawan Johor 2020 adalah belanjawan tanpa fokus. Tidak jelas apakah yang cuba dicapai dan ke manakah Johor hendak dikemudikan.

35. Saya harap, input-input bernas daripada ADUN-ADUN Barisan Nasional dan PAS semasa perbahasan akan diberikan perhatian yang serius oleh YAB Menteri Besar Johor.

36. Tidak guna terus-menerus mengambil pendekatan membisu dan memekakkan sahaja telinga tatkala wujud pelbagai seruan lantang terhadap perkara-perkara yang boleh ditambah baik.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.