Difahamkan abu mayat Mendiang Chin Peng telah dibawa balik dan di tabur ke laut Lumut dan Hutan Banjaran Titiwangsa.
Justeru, sangat malang kerana dilihat bahawa Kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja tidak menghargai perjuangan perajurit menentang pengganas komunis, malah seolah-olah mengizinkan pengiktirafan diberikan kepada mereka.
Sebab itu, kenyataan beberapa pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan, berkaitan perkara ini sangat mendukacitakan dan tidak menyakinkan.
Perlu ditegaskan, tidak harus ada sebarang percubaan dalam apa juga bentuk oleh sesiapa juga yang boleh ditafsirkan sebagai usaha menghidupkan atau menyemarakkan semula fahaman serta ideologi yang pernah diperjuangkan mendiang serta mereka yang sealiran dengan beliau.
Perkara seumpama ini sangat jelas bertentangan dengan RUKUN NEGARA, KHASNYA KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG.
Mesti difahami, perjuangan Komunis di negara ini telah menyebabkan pelbagai penderitaan dihadapi oleh rakyat terutama perajurit negara dan juga orang awam. Bukan sahaja orang Melayu , tetapi juga India dan Cina serta kaum-kaum lain di Semenanjung Malaysia termasuk di Sarawak.
Kita mesti sensitif. Ramai mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan mendiang yang ketika itu adalah Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dan ada yang menerima kesan sehingga hari ini. Semua ini perlu diambil kira.
Oleh itu, sensitiviti rakyat Malaysia yang menolak fahaman dan ideologi komunis di negara ini mesti difahami.
Maka dalam hal ini, Kerajaan Pakatan Harapan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti membuat penjelasan kedudukan sebenar siapa, bila dan bagaimana abu mayat Mendiang Chin Peng boleh dibawa pulang ke Malaysia.
Semua sedia maklum bahawa Kabinet ketika Kerajaan Barisan Nasional telah membuat keputusan ianya tidak boleh dibawa pulang. Pendirian UMNO kekal tidak bersetuju mendiang dibawa pulang ke Malaysia.
Kita minta Kerajaan Pakatan Harapan membuat penjelasan. Penjelasan itu penting untuk direkod dan bagi pengetahuan rakyat.
Kita bimbang fahaman komunis akan menular semula di negara ini dan kita mesti menghalangnya. Sekadar menafikan dan memberikan alasan tidak tahu abu mayat mendiang dibawa pulang tidak memadai kepada rakyat.
Sekian. Terima Kasih.
YB DATO DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA