Teks Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2019
oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO Malaysia
Para Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri;
1. Marilah kita memulakan Perhimpunan malam ini dengan rasa syukur yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Rasa syukur yang sedalam dan seikhlas mungkin.
2. Betapa Maha Pengasih dan Maha Pemurahnya Allah SWT terhadap kita dan parti kita.
3. Betapa dalam kegembiraan dan rawan kita, dalam menang dan tewas kita, Allah SWT terus mengurniakan kesempatan sebegini pada kita.
4. Kesempatan berhimpun dan bersemuka, demi mencari kearifan untuk bangsa dan tanahair.
5. Kesempatan yang saban tahun kita lakukan tanpa jemu, tanpa lelah. Demi mencari pencerahan untuk UMNO. Agar ia terus menjadi wadah perjuangan yang bukan sahaja lebih baik, tetapi lebih diredhai Allah SWT. Insya-Allah.
6. Terima kasih kepada Wanita, Pemuda dan Puteri atas jemputan untuk saya merasmikan perhimpunan tahunan ini.
7. Harapan saya semoga, pertemuan kita malam ini, adalah pertemuan yang lebih baik, dan membuahkan penuh keberhasilan.
8. Lalu gunakanlah segala ruang waktu yang ada, dari malam ini, sehingga selesai perhimpunan ini kelak, untuk mencerahkan UMNO. Kerana masalah UMNO dan bangsa Melayu, biar dalam bentuk dan rupa apa pun, akan terus menjadi tanggungjawab kita selamanya.
Para Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri;
9. Sesungguhnya Negara ini telah banyak menerima jasa-jasa UMNO.
10. Dalam menang atau tewas UMNO, dalam kuat atau lemahnya parti ini, tiada siapa dapat menidakkan, sumbangan UMNO dalam memajukan tanahair kita.
11. UMNO telah mengubah nasib bangsanya. Dengan berbekalkan semangat perjuangan, pengabdian dan pengorbanan, yang luar biasa. Ini semua dicurahkan para pejuang bangsa dengan ikhlas lagi jujur, tanpa balas dan tanpa ungkit.
12. Setelah 62 tahun merdeka, saya yakin para pejuang bangsa akan bersyukur dan gembira, melihat transformasi Malaysia pada abad ke-21 ini.
13. Dari sebuah bangsa yang dahulunya, buta huruf – kini, mempunyai sistem pendidikan yang kuat dan menyeluruh. Malah antara yang paling terkehadapan di dunia.
14. Dari bangsa yang dahulunya, terbelakang di Asia, – kini telah melonjak, menjadi negara hampir maju sepenuhnya, pada tangga ke 26 ekonomi paling kompetitif di dunia.
15. Dari bangsa yang dahulu miskin – kini Malaysia di abad ke-21, adalah sebuah negara, yang mempunyai kelas menengah terbesar, dalam kalangan negara membangun. Malah, Malaysia merupakan salah satu negara, dengan pertumbuhan kelas menengah yang tercepat di Asia.
16. Dari bangsa yang kerap goyah, apabila diterpa bermacam-macam badai politik dan ekonomi – kini, kita telah berhasil menempatkan diri, menjadi demokrasi stabil di dunia.
17. Pendek kata, setelah lebih enam dekad Malaysia merdeka, negara kita terus tumbuh, menjadi watan yang semakin bersatu, semakin damai, semakin makmur, dan semakin demokratik.
18. Saya menyatakan semua pencapaian ini, bukanlah untuk berpuas hati, atau bermegah diri mendabik dada. Malah jauh sekali dari bernostalgia dengan cerita lama.
19. Tetapi, saya sekadar ingin mengingatkan semua perwakilan, bahawa kitalah, UMNO, yang merintis kesemua perkara yang saya sebutkan tadi.
20. Etos inilah, yang saya ingin zahirkan, kepada semua perwakilan pada malam ini.
21. Jika selama tempoh demikian, UMNO berjaya merintis jalan kejayaan, kepada segala yang disebutkan tadi, untuk tanahair, masakan kini, UMNO tidak mampu merawat dirinya, tatkala ia sedang tewas dan susut?
22. Setelah 18 bulan, kita tersungkur dari puncak kekuasaan, saya ingin mengajak semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, untuk bersama-sama, melakukan tindakan yang paling radikal, bagi mengembalikan UMNO ke peranannya yang sebenarnya iaitu – menjadi nakhoda utama bahtera yang bernama Malaysia.
23. UMNO tidak boleh terus susut. UMNO mesti mengemudi bahtera Malaysia ini. Ia adalah tanggungjawab kita.
24. Jika layarnya koyak, atau dindingnya reput, atau lantainya bocor, maka kita wajib membaikinya. Dengan kudrat yang kuat, dengan pemikiran terbaik, dan dengan sikap dan niat yang betul. Secara bersungguh-sungguh, tanpa jemu.
25. Meskipun, kita tidak lagi membentuk kerajaan seusai PRU yang lepas. Amat mustahil, jika kita rela dan sanggup, membiarkan bahtera ini dirampas dan dibiarkan rosak begitu sahaja.
26. Kita belum tewas, Saudara Saudari sekalian! Selagi kita, mahu bangkit! Kerana, tewas yang sebenar-benarnya adalah, apabila kita berputus asa dan enggan bangun kembali setelah tersungkur.
27. Lalu, bekerja keraslah untuk UMNO dan Malaysia ini. Ingatlah, perjuangan dan kerja keras sesuatu bangsa adalah, satu-satunya jalan untuk mengangkat darjat bangsanya, ke tingkat yang lebih tinggi dan mulia.
28. Semoga dengan kerja keras ini, bahtera yang bernama Malaysia akan sama-sama kita perbaiki, demi kebaikan semua penumpangnya. Para perwakilan sekalian;
29. Malam ini saya ada lima perkara yang ingin saya bicarakan.
30. Perkara Pertama, saya ingin menyentuh tentang cabaran sebenar UMNO.
31. Setelah lebih 18 bulan menjadi pembangkang, Pakatan Harapan bukanlah cabaran sebenar UMNO. Menumbangkan Pakatan Harapan itu tidaklah mudah, tetapi ia boleh dilakukan, dengan strategi mantap dan pendekatan yang betul. Malah, kita sudah menumbangkan mereka sedikit demi sedikit.
32. Tetapi, cabaran sebenar UMNO, yang lebih benar, lebih besar dan maha hebat adalah, dalam mendepani sifat politik atau ‘the nature of politics’ itu sendiri. Terutamanya pada zaman globalisasi yang kian tidak menentu ini.
33. Dunia dan fenomena politik hari ini, sudah tidak boleh dijangka. Malaysia dan dunia sudah tidak seperti dahulu.
34. Politik abad ke-21 ini begitu rumit, tidak menentu dan pelbagai. Ia dipengaruhi oleh pemboleh ubah-pemboleh ubah kompleks, yang mampu mengubah tatanan kehidupan, malah norma kewujudan manusiawi itu sendiri.
35. Kita tidak mungkin tahu, cabaran politik yang bagaimana bakal muncul, dalam tahun malah bulan yang mendatang ini.
36. Lantaran itu, UMNO wajib disediakan, untuk mencatur dirinya dalam konteks politik abad ke-21. Kita tidak boleh terperangkap, di dalam ketidaktentuan masa hadapan, atau ‘the uncertainty of the future’ .
37. Mengapa saya berhujah sedemikian?
38. Kerana kita hidup dalam ‘the age of disruption’. Pemikiran, budaya kerja dan gaya hidup masyarakat, sudah terlalu terkehadapan, dan tidak ada yang tetap atau ‘absolute’.
39. Globalisasi serta kejadian-kejadian maha dahsyat, dari pelbagai aktor-aktor antarabangsa telah menyumbang kepada perubahan cara kerja, cara fikir dan cara kita menjalani rutin kehidupan.
40. Oleh itu, politik sendiri akan menjadi semakin dinamik, mencabar dan ‘disruptive’. Lihat sahajalah di seluruh dunia. Segala macam doktrin dan model politik telah dicabar, diuji malah diketepikan sebagai tidak relevan, kolot dan terkebelakang.
41. Apa yang dahulunya benar dan betul. Sekarang ditolak dan ditentang.
42. Maka saya ingin bertanya kepada perwakilan semua. Di manakah kedudukan UMNO dalam segala kekalutan ini?
43. Sebagai sebuah parti politik, UMNO tidak mempunyai pilihan. Kita mesti melakukan penyusunan semula yang serius dan radikal atau ‘a serious radical alignment’.
44. ‘Realignment’ atau penyelarasan semula ini, harus memastikan amalan politik kita, bukan sahaja boleh menangani ‘legitimate concern’ atau kebimbangan sah rakyat. Tetapi haruslah seiring dengan perubahan cara hidup, budaya kerja dan pemikiran manusia, di zaman “the age of disruption” ini.
45. Persoalannya, bagaimana harus UMNO melakukan semua ini? Saya percaya ada tiga perkara harus kita sama-sama lakukan.
46. Nombor Satu; UMNO mesti mempunyai ‘agility’, atau ketangkasan untuk belajar. Kita harus tangkas, bingkas dan lekas belajar perkara baharu, memahaminya dan mempraktikkannya.
47. Maknanya – UMNO mesti menjadi ‘a learning political entity and an idea based party’ atau sebuah entiti politik yang sentiasa belajar dan berasaskan idea.
48. “Mereka yang buta huruf pada abad ke-21 ini, bukanlah mereka yang tidak tahu membaca atau menulis, tetapi adalah mereka yang tidak mahu belajar dan belajar semula.”
49. Oleh yang demikian, kita mesti menjadi parti yang terus belajar, meneroka, berinovasi kreatif dan mencabar kelaziman. Cinta akan ilmu dan pengetahuan baharu. Hatta Nabi SAW sendiri pun, sebagai seorang Ulil Amri dan Khalifah Teragung, terus belajar dan dahagakan ilmu. Apa lagi alasan kita?
50. Jika kita gagal belajar, liat untuk menerima ilmu baharu dan menolak pemikiran bernas, yang sesuai dengan kita, maka percayalah. Percayalah, yang UMNO pada suatu hari nanti akan menjadi sebuah institusi politik yang purba serta disia-siakan, dilupakan, dan ditinggalkan anak bangsa sendiri.
Para Perwakilan Sekalian;
51. Nombor Dua; dalam mendepani ‘the politics in the age of disruption’ ini, ahli UMNO mesti mempunyai ‘resilience’ atau daya tahan dalam perjuangan.
52. Kita tidak boleh menyerah. Tidak pernah putus asa. Tidak boleh tunduk kepada apa jua tekanan. Sama ada dalaman mahupun luaran.
53. “Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada menukar haluan”.
55. UMNO mesti membangunkan ‘the culture of resilience’ atau budaya daya tahan ini, dalam setiap jiwa raga pendukungnya. Apatah lagi, apabila kita ini sudah tewas dan tidak lagi punyai kuasa.
56. Satu-satunya mekanisme yang ada, untuk bangun dari ketewasan ini ialah, melalui kekentalan hati dan sanubari kita, dalam memperjuangkan kepentingan bangsa serta tanahair.
57. Ambillah pedoman, dari pada perjuangan bangsa Palestin. Apa perkara yang tidak mereka lalui, sebagai sebuah bangsa, selama berdekad lamanya?
58. Namun untuk undur dan mengalah, adalah suatu kemustahilan. Segala gundah gulana, keperitan dan rawan hati mereka, telah membangunkan ketahanan diri atau ‘self resilience’ yang sangat luar biasa. Nyata sekali daya tahan bangsa Palestin, jauh lebih unggul berbanding mana-mana bangsa lain di dunia.
59. UMNO dan ahlinya juga, mesti sedemikian rupa. Harga perjuangan kita, ialah jiwa dan raga. Dengan darah dan nyawa. Jika kita berani, untuk berdaya tahan seperti itu, maka demikianlah ukuran sebenar, seorang pejuang bangsa yang dihormati.
60. Nombor Tiga ialah; memanfaatkan Sains dan Teknologi.
61. Mungkin ramai yang pelik, bila saya mengaitkan UMNO dengan sains dan teknologi. Bagi kebanyakan kita, politik itu adalah tentang rakyat dan menyantuni keperluan mereka.
62. Tetapi masa depan UMNO itu, sangat bergantung kepada, bagaimana parti ini memanfaatkan sains dan teknologi. Ingatlah, penyelesaian isu seperti kemiskinan, kesenjangan pendapatan, pengangguran, kos sara hidup rakyat – semuanya ada pada sains dan bukan pada politik.
63. Kita hanya dapat mengemukakan penyelesaian tuntas, melalui penggunaan pelbagai jenis penemuan, data raya, model matematik, sains psikologi dan pelbagai lagi ilmu saintifik, yang ada sekarang.
64. UMNO mesti menggunakan data raya, kecanggihan media sosial dan sains analitik, sebagai ‘a new normal’ dalam setiap gerak kerjanya. Bukan lagi bergantung pada ‘bisik-bisik di kedai kopi’, atau ‘gerak hati yang bersandarkan tilikan, syak dan perasaan’.
Perwakilan yang saya kasihi;
65. Perkara kedua yang ingin saya sentuh pada malam ini ialah, kepentingan untuk kembali memberikan tujahan baru kepada ideologi parti.
66. Tujahan baru ini penting, agar UMNO boleh menghembus seru nafas yang lebih segar. Memberikan ia perspektif dan naratif, yang lebih kontemporari dan berdaya tahan.
67. Kenapa saya kata ideologi? Kerana sebagai orang perjuangan, ideologilah yang menjadi inspirasi kita.
68. Apakah makna kita berjuang dan berparti, jika tidak ada ideologi? Tanpa pemikiran politik? Tanpa kepercayaan bahawa – apa yang kita perjuangkan itu adalah benar.
69. Ia seperti jasad tanpa jiwa, tanpa roh. Kosong dan kontang.
70. Apabila tersisihnya ideologi dari agenda besar UMNO, maka Politik Naungan akan berakar umbi di dalam parti. Politik yang berasaskan untung dan rugi. Politik yang bertumpu pada personaliti. Politik bangsawan dan politik terhutang budi. Maka di sini saya ada beberapa pesan.
71. Wahai Wanita, Pemuda dan Puteri bangsaku, kembalilah kalian semua, kepada apa yang kita percayai dalam perjuangan ini.
72. Kembalilah kalian, dalam meyakini bahawa UMNO ini, ideologinya adalah, tentang menggerakkan segala usaha, bagi menambahbaik kedudukan, maruah, dan kepentingan bangsa Melayu.
73. Selama UMNO ini hidup, ia bernafas dan berfungsi, untuk memastikan kedudukan Islam, budaya, bahasa dan tradisi Melayu terus dipertahankan, tanpa menyinggung hak dan kepentingan serta kepercayaan rakan-rakan kaum yang lain.
74. Satu-satunya perkara yang menghubungkan kita dengan pejuang-pejuang parti ini dan generasi dahulu, adalah ideologi. Dan ideologi jugalah yang akan menghubungkan kita, dengan generasi penerus perjuangan UMNO pada masa hadapan.
75. Namun, adakah ideologi kita, akan terus relevan dalam ‘the age of disruption’ ini? Adakah ideologi kita terus sesuai dalam ‘the uncertainty of the politics of the future’ atau zaman ketidaktentuan politik masa hadapan?
76. Jawapan saya adalah Ya! Ideologi UMNO akan terus relevan dulu, kini dan selamanya!
Para Perwakilan Sekalian;
77. Banyak sekali pihak cuba menggunakan hujah ahli akademik Francis Fukuyama tentang ‘the politics of identity’ atau politik identiti untuk menolak ideologi UMNO.
78. Di sini saya ingin menegaskan bahawa, masyarakat walau di mana jua, dan dalam keadaan bagaimana sekalipun, tidak akan sesekali jemu untuk melihat diri mereka, dari perspektif identiti, puak, etnik mahupun suku.
79. Sudah menjadi lumrah manusia, untuk mempunyai keinginan asasi, agar dikenali dan diiktiraf, sesuai dengan bangsa, bahasa, nilai kesukuan dan kepercayaan etnik masing-masing.
80. Dan mempunyai ‘social identities’ atau identiti sosial itu adalah kelaziman. Mempertahankannya pula, akan menzahirkan rasa selamat, tenteram dan kepunyaan masyarakat tersebut, dalam era ketidaktentuan global dan ‘the age of disruption’ ini.
81. Apatah lagi untuk bangsa Melayu, dan juga bangsa-bangsa lain di Malaysia. Kekuatan, kemajuan dan kejayaan pelbagai bangsa, suku serta etnik, akan wujud, apabila mereka bergerak dalam lingkungan ‘identiti’ mereka sendiri.
82. Maknanya, keutamaan sesuatu bangsa ialah memperkuatkan terlebih dahulu ikatan sesama mereka, sebagai satu unit solid, yang utuh dan kukuh.
83. Amat dangkal, apabila wujud cadangan, untuk menyisihkan politik identiti daripada wacana politik negara, dan menggantikannya dengan wacana dasar, ekonomi dan polisi semata-mata.
84. Mungkin mereka lupa bahawa, dalam sejarah kemajuan dan kemodenan Malaysia, kemakmuran ekonomi, kita tidak boleh dipisahkan dari identiti dan politiknya.
85. Justeru, apa jua usaha untuk menolak ideologi UMNO atas hujah politik identiti, tidak akan berjaya.
86. Malah akan menjadi lebih relevan, apabila berhadapan dengan cabaran dan dampak globalisasi.
87. Ideologi dan politik identiti, menyediakan kita dengan mekanisme pertahanan, yang saya panggil ‘political and cultural resilience’ atau daya tahan politik dan budaya untuk mendepani badai imperialisme ekonomi, sosial, budaya dan pemikiran, yang terus menerus menghimpit jati diri bangsa.
88. Namun begitu, ideologi kita juga mesti memerlukan sebuah konteks baru, kerana Malaysia, telah lama meninggalkan zaman pasca kemerdekaan.
89. Malaysia pasca moden, menuntut ideologi parti disemak, dan diberikan tujahan dan nilai baru. Iaitu kemajuan dan kebolehsaingan.
90. Justeru, Ideologi kita, mesti beranjak kepada kemajuan dan kebolehsaingan Orang Melayu. Bukan sekadar menambah baik kedudukan dan mempertahankan hak kita semata-mata.
91. Kerana itulah, saya telah sedari awal lagi, mengungkapkan naratif Agenda Melayu Maju, sebagai pemikiran politik baru untuk UMNO.
92. Orang Melayu mesti maju ekonominya. Maju politiknya. Maju pemikirannya. Maju pemuda dan pemudinya. Maju tahap sosial dan pendidikannya. Maju budayanya. Namun tetap berakar umbi dalam tingkah laku dan ruang lingkup keunggulan Melayunya.
93. Melayu yang maju ialah, Melayu yang kuat jati diri. Yang Berilmu. Yang unggul peribadi, akhlak dan budi bahasanya.
94. Melayu yang maju ialah, Melayu yang terbuka. Yakin dalam pergaulannya. Yakin untuk bersaing. Yakin pada kemampuan dan potensinya.
95. Melayu yang maju, malu menjadi penerima. Tetapi berlumba-lumba dalam memberi.
96. Melayu yang maju, mengembara dan meneroka seantero dunia, bukan hanya jadi juara di desanya sahaja.
97. Melayu yang maju, memimpin yang lemah, bukan menjatuhkan yang kuat.
98. Melayu yang maju mengupaya yang memerlukan, bukan memanja tanpa sebab.
99. Kita mesti menjadikan UMNO ini, segala-galanya tentang kemajuan.
100. UMNO mesti menjadi pendorong terbesar, untuk kemajuan bangsa Melayu. Memberikan inspirasi untuk bangsa Melayu, berlumba-lumba menjadi bangsa terbaik.
101. Menjadi Ummatan Wasatan, umat contoh. Yang sederhana dan berbudaya.
102. Kita boleh melakukannya. Seperti mana nenek moyang kita dahulu yang berjaya mendirikan sebuah tamadun Melayu di Nusantara, yang kaya dengan khazanah ilmu dan ekonomi, inovasi dan penciptaan cara hidup maju, namun tetap Islami.
103. Maka kita tidak punya alasan untuk menidakkan Agenda Melayu Maju ini.
Perwakilan yang saya hormati;
104. Perkara ketiga yang ingin saya utarakan pada malam ini ialah tentang pentingnya UMNO melihat kembali cara untuk kita mendekati semula bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia umumnya.
105. Saudara dan Saudari Sekalian, UMNO mesti menjadi landasan massa yang terbuka dan inklusif.
106. Parti ini mesti punya agenda, untuk meyakinkan bangsa Melayu dan bukan Melayu. Bahawa ia adalah taruhan masa depan mereka dan Malaysia yang lebih baik.
107. Kita tidak boleh bergerak tanpa agenda yang konkrit. Tanpa pelan. Tanpa kejelasan tentang apa yang akan kita lakukan, apabila kita diberikan kepercayaan untuk memerintah dan mentadbir semula.
108. Dan sudah tentu sekali, kita tidak boleh hanya mengharapkan kegagalan Pakatan Harapan semata-mata, untuk memenangkan kita.
109. Ingatlah, masa depan UMNO bukan di tangan 3 juta ahli kita sahaja. Saya tidak menyangkal ia adalah penting. Namun masa depan UMNO juga, ditentukan oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya, yang berada di luar sana. Yang bukan ahli kita.
110. Konstituen UMNO sudah berubah. Dan akan terus berubah.
111. Jadi, bagi membuktikan betapa seriusnya UMNO, dalam pemerkasaan dirinya menjadi sebuah pergerakan yang inklusif, saya ingin menyarankan kepada Wanita, Pemuda dan Puteri, untuk merumuskan suatu agenda yang konkrit, untuk dijadikan tawaran UMNO kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.
112. Secara asasnya, saya menyarankan agar ketiga-tiga sayap parti, menyahut cabaran, untuk merangka Tawaran Baru UMNO, untuk rakyat Malaysia – Our New Deal.
113. Tawaran ini haruslah mempunyai empat elemen penting.
114. Elemen Pertama: Jaminan dan iltizam UMNO, dalam mengukuhkan kedudukan politik dan kuasa Melayu;
115. Elemen Kedua: Jaminan dan iltizam UMNO, dalam memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu;
116. Elemen Ketiga: Jaminan dan iltizam UMNO, dalam mengukuhkan kedudukan Islam, institusi Raja, Bahasa Kebangsaan dan budaya Melayu; dan
117. Elemen Keempat: Jaminan dan iltizam UMNO, dalam mengukuhkan kemajmukan Malaysia, menghormati kepentingan pelbagai kaum seterusnya memaju dan menyejahterakan Malaysia yang tercinta ini.
118. Rangkalah tawaran ini sebaiknya, dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan kecerdasan. Rangkalah dengan mengutamakan, pandangan akar umbi dan orang kebanyakan.
119. UMNO, tidak boleh beroperasi seperti dahulu lagi. Segalanya kita lakukan sendirian dan kemudian kita paksakan ia menjadi rukun, ke atas orang Melayu. Zaman itu telah berakhir, Saudara Saudari sekalian.
120. Sekarang, kita mesti mencungkil kebijakan dari semua, bukan segelintir. Kita kumpulkan NGO, NGI, ahli akademik, pemikir unggul, profesor ulung, para asatizah, pakar dalam pelbagai bidang kemahiran dan semua pihak untuk kita rangkakan ‘the new deal’ ini.
Para perwakilan yang saya hormati;
121. Perkara keempat yang ingin saya sentuh malam ini adalah, betapa pentingnya untuk ikhtiar memurnikan kepimpinan bangsa dipergiat dan diarusperdanakan.
122. Kerisauan paling besar dan mendalam dalam diri saya ialah, kepada siapa parti ini harus kita wariskan.
123. Kerana, persoalan kepimpinan, adalah asas kelangsungan dan kesejahteraan UMNO.
124. Kerja berat kita, sebagai sebuah pergerakan politik Melayu ialah, untuk melahirkan kepimpinan pelapis. Mereka yang benar-benar boleh memimpin tanahair Malaysia ini, bukan sekadar bangsa kita dan parti sahaja.
125. Mereka yang benar-benar boleh, menggali samudera hikmah dan potensi tanahair ini.
126. Menyajikan segala hikmah dan potensi tersebut, dengan keperibadian murni, agar akhirnya, akan terbit dan terjelmalah sebuah pemikiran dan tata kelola bangsa yang termaju.
127. Hanya kepimpinan Melayu, dengan pemikiran termaju, akan menjadikan kita sebuah bangsa yang berdaya tahan.
128. Pemikiran termaju yang saya maksudkan ialah, pemimpin yang berfikir mendahului zamannya. Pemimpin yang melihat apa yang orang lain tidak lihat. Yang bermimpi apa yang orang lain tidak mimpikan. Yang meyakini apa yang orang lain kurang yakini.
129. Pemimpin yang pemikirannya adalah, pencetus inspirasi dan teladan untuk bangsanya berubah, bekerja keras dan berusaha gigih, agar menjadi sebuah bangsa yang besar dan mulia.
130. Namun, pemimpin yang mempunyai pemikiran termaju sahaja, tidak mencukupi, jika tidak diapit dengan keperibadian murni lagi terpuji.
131. Kualiti terpenting dalam kepimpinan bangsa Melayu ialah, moral. Tiada pemikiran terhebat, kepetahan berpidato atau karisma luar biasa dapat mengatasi kepentingan moral dan akhlak murni.
132. Negara dan bangsa yang berjaya, mesti diketuai oleh pemimpin yang mempunyai kewibawaan moral, yang tiada ada tolok bandingnya.
133. Bila kita mengangkat pemimpin yang bermoral, kita melakukan perkara betul dan benar, untuk bangsa dan negara.
134. Kerana, pemimpin yang bermoral, adalah pemimpin yang adil dan wibawanya unggul. Lalu dek kerana baik akhlaknya, akan menjadi suri teladan pada bangsa dan warga.
135. Malaysia, Saudara Saudari sekalian, jika ingin menjadi negara termaju, mesti menampilkan pemimpin, yang mempunyai pemikiran paling bening dengan dipandu moral dan akhlak paling dikagumi.
136. Namun semenjak beberapa ketika kebelakangan ini, krisis moral dalam kepimpinan bangsa kita menjadi semakin membarah.
137. Negara ini, tidak boleh dipimpin, walau sesaat dan sedetik, oleh mereka yang wibawanya diragui. Malaysia selayaknya memerlukan pimpinan Melayu yang lebih adil dan murni, rendah diri dan soleh.
138. Kepada rakan seperjuangan saya di dalam Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Sediakanlah, dari kalangan kalian pemimpinpemimpin yang akan memberikan redup sejuk pada mata bangsa.
139. Cungkilkanlah bakat terbaik. Ajaklah mereka, yang mempunyai potensi yang mengkagumkan dalam memimpin, untuk menjadi sebahagian daripada kita. Jangan rasa tercabar atau terancam dengan mereka yang lebih bijak dan lebih layak.
140. Asuh pemimpin pelapis kita di pelbagai persada asuhan. Institusikan pelbagai program kepimpinan, agar parti kita akan terus mempunyai pelapis pemimpin terlatih, yang terdedah dan teruji minda, serta nuraninya.
141. Hantar mereka ke seluruh dunia, untuk menimba pengalaman. Berikan mereka tugasan yang pelbagai, agar mereka terbiasa dengan kemahiran, perspektif dan kemampuan yang tiada bandingnya.
142. Saya harus mengakui, bahawa UMNO selama ini, selalu memandang enteng tentang perihal kepimpinan dan latihannya.
143. Sekarang, kita mesti mengambil serius akan hal ini. Kerana tanpanya, parti kita dan orang Melayu akan kehilangan peluang untuk mendahului persaingan dan kebolehan mendepani cabaran.
Para perwakilan yang saya hormati;
144. Perkara kelima dan terakhir dan yang paling penting, yang mahu saya sentuh adalah, tentang perlunya kita menggagalkan Pakatan Harapan.
145. Kita semua mesti menjadi pelopor, usaha besar-besaran rakyat Malaysia, untuk menolak Pakatan Harapan. Jadikan usaha ini sebuah gerakan massa.
146. Gerakan rakyat yang benar-benar rasa tertipu, rasa terpedaya dan rasa dibohongi oleh Pakatan Harapan.
147. Setelah 18 bulan menjadi kerajaan, Pakatan Harapan telah menggagalkan negara ini dan rakyatnya secara sistematik.
148. Mereka telah gagal dalam janji mereka. Gagal mengurus negara ini. Gagal melaksanakan pembaharuan yang mereka janjikan.
149. Mereka adalah Pakatan yang gagal! Pakatan yang bukan sahaja menjadikan negara ini negara rapuh, malah Pakatan yang telah melemahkan kedudukan, pengaruh dan kekuasaan Bangsa Melayu dan kedudukan Islam.
150. Keutamaan mereka bukan menguruskan negara ini. Tetapi siapa yang bakal nak menjadi Perdana Menteri.
151. Sehingga timbul, pelbagai perbalahan dalaman dan percakaran kuasa, yang sangat memalukan. Sehingga ada juga dari kalangan kita yang terikut-ikut, malah diperkudakan oleh kalangan tertentu, demi survival dan percaturan kedudukan politik tokoh terbabit.
152. Yang pasti, kita sama sekali tidak boleh memperjudikan Malaysia dan masa depannya.
153. Inilah mesej utama, yang harus kita fahami dari keputusan PRK Tanjung Piai. Bahawa, rasa muak, benci dan meluat rakyat telah sampai ke tahap yang sudah tidak boleh dibendung lagi.
154. Tanjung Piai adalah, referendum yang memutuskan bahawa, Pakatan Harapan adalah sebuah Kerajaan yang lemah, gagal berimaginasi dan gagal mengurus negara ini.
155. Ia adalah referendum, bahawa kebajikan dan kedudukan Malaysia dan rakyatnya, tidak pun menjadi lebih baik. Sebaliknya semakin deras menyusut.
156. Ia adalah referendum, bahawa kepimpinan utama negara, gagal mengemudi perjalanan negara ini, seperti yang dijanjikan. Dan mereka telah mungkir dalam semua ikrar mereka, untuk Malaysia.
157. Sungguh malu dan aib, bila mereka sering meminta masa, untuk ‘memperbaiki’ negara. Seakan-akan Malaysia, merupakan suatu eksperimen dalam tabung uji kaji, yang boleh dibuang jika ia gagal dan tidak menjadi.
158. Saudara Saudari sekalian, Malaysia bukan sebuah eksperimen sains. Tidak ada masa untuk dibazirkan. Setiap detik yang terbuang, setiap anak Malaysia yang akan menanggung ruginya.
159. Percayalah, kegagalan 18 bulan PH, hanyalah permulaan kepada lebih banyak kegagalan yang bakal menyusul.
160. Soalnya, bagaimana harus kita, menggagalkan Pakatan Harapan ini. Saya anjurkan beberapa cara.
161. Cara Pertama, setiap kita mesti menjadi agen semak dan kritik yang benar-benar efektif. Saya maksudkan kita semua, bukan UMNO. Ini adalah era demokrasi digital.
162. Setiap ahli UMNO boleh berperanan, secara bertanggungjawab dan beretika, untuk mencari pelbagai kelemahan, kegagalan dan kepincangan PH. Dan mendedahkannya, kepada semua rakyat Malaysia, melalui pelbagai medium media sosial.
163. Cara Kedua, kita mesti mengukuhkan Muafakat Nasional dengan sebenar-benar pengukuhan.
164. Maknanya, kita semua mesti menjiwai Muafakat Nasional, memperjuangkan ideanya, dan menjayakannya dengan pelbagai cara.
165. Kitalah ‘roadmap’ sebenar Muafakat Nasional. Kitalah yang mesti menterjemahkannya di akar umbi.
166. Muafakat Nasional ini mesti dirakyatkan. Ia mesti difahami oleh rakyat kebanyakan dan diterima oleh mereka. Dan tugas tersebut adalah pada kita semua. Bukan sekadar Presiden dan pasukannya sahaja.
167. Ingat, kita telah menang empat pilihanraya kecil, melalui kerjasama erat UMNO, BN, dan rakan-rakan sahabat yang lain khususnya PAS. Maknanya, Muafakat Nasional adalah formula dan strategi politik yang berhasil dan mempunyai keampuhan.
168. Jadi, perjuangkanlah Muafakat Nasional ini. Yakinlah dengannya. Terjemahkanlah ia. Agar insya-Allah, melaluinya, akan kembalilah bahtera Malaysia ini ke pangkuan kita.
Para Perwakilan Sekalian;
169. Sebagai pengakhiran, saya tegaskan sekali lagi. Malaysia adalah negara idaman yang telah kita bina. Kita mesti kembali menjadi nakhodanya.
170. Dalam keterbatasan sumber dan ketidaktentuan dunia, serta kesamaran hakikat hidup, UMNO harus lincah dan tangkas berlari mengejar cita-cita ini.
171. Namun yang dinamakan perjuangan itu tidak mudah. Saudara-Saudari Sekalian suka saya mengingatkan pesan Almarhum Hamka, tentang perjuangan. “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tak pernah gagal, hanyalah orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama, kita dapat menambah pengetahuan, untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua”.
172. Lalu perjuangkanlah UMNO ini biar apa pun harganya. Kerana UMNO lah yang telah menghidup-hidupi bangsa Melayu selama ini.
173. UMNO telah membina sejarah semalam yang baik untuk orang Melayu dan Malaysia. Sekarang adalah masa untuk kita memimpin pula masa depan dan hari esok yang maju untuk semua. Insya-Allah.
Marilah kita semua menggembleng seluruh niat dan kudrat, untuk menjadikan perhimpunan pada kali ini, sebagai titik tolak kepada masa depan yang lebih baik. Untuk UMNO, untuk Orang Melayu dan untuk Malaysia.