1. Laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 11 Disember yang mendakwa bahawa MIC dan MCA tidak diajak sertai Muafakat Nasional adalah tidak benar.
Link berita yang dikeluarkan oleh FMT :
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/12/11/mca-mic-tak-diajak-sertai-mn-bukan-semua-terima-kerjasama-umno-pas-kata-penganalisis/
2. Sekali pun laporan tersebut memetik pandangan peribadi penganalisis politik, pandangan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak tepat.
3. Pertama sekali, kedua-dua penganalisis yang dirujuk tersebut bukanlah mereka yang mempunyai maklumat sahih berhubung strategi dan pelan tindakan Muafakat Nasional. Ini termasuklah apakah langkah dan pelan UMNO-PAS untuk berbincang dengan MIC, MCA dan pihak-pihak lain yang mahu menyertai Muafakat Nasional. Jadi, pandangan kedua-dua penganalisis tersebut tidak sama sekali menggambarkan realiti dan fakta yang sebenar. Ia hanyalah andaian mereka semata-mata.
4. Kedua, pihak terbaik untuk dirujuk dalam mendapatkan maklumat sahih sama ada MIC dan MCA diajak berunding atau tidak adalah pihak MIC dan MCA sendiri. Bukannya dengan membuat kesimpulan tersebut dari pihak ketiga. Atau setidak-tidaknya pihak akhbar boleh menghubungi UMNO dan PAS untuk mendapatkan kepastian. Kenyataan dari MIC, MCA, UMNO dan PAS adalah lebih sahih berbanding dakwaan mana-mana penganalisis luar parti.
5. Saya akui semua pihak bebas memberikan pandangan serta analisis mereka. Tetapi, janganlah sampai membuat kesimpulan peribadi yang bersifat andaian kosong yang sangat terpesong, tidak benar dan mengelirukan semua pihak. Paling penting, rujuklah mereka yang benar, yang mempunyai maklumat sahih dan berkredibiliti.
6. Sebagai rekod dan penegasan, UMNO dan PAS akan menjayakan Muafakat Nasional ini dengan cara terbaik dan mampu diterima oleh semua termasuklah MIC dan MCA. Selari dengan namanya, semua pihak akan duduk, berbincang dan bermuafakat demi kepentingan nasional. Ini bukan misi solo mana-mana parti. Ia akan dijayakan dengan kaedah dan pendekatan terbaik demi Malaysia yang lebih baik.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
11 Disember 2019