Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Kuala Lumpur Summit 2019 yang bermula esok.
Ia adalah persidangan yang akan menemukan pemimpin, pemikir, birokrat dan ahli perniagaan dari seluruh dunia, untuk merintis jalan hadapan dalam mendepani pelbagai masalah yang dihadapi oleh dunia dan masyarakat Islam.
Kemuncak persidangan tersebut ialah kehadiran beberapa pemimpun progresif utama dunia Islam seperti Presiden Turki, Presiden Iran, Emir Qatar dan Perdana Menteri Pakistan.
Ia adalah pertemuan yang sangat penting di saat dunia Islam sangat berpecah, kehilangan kepimpinan dan menghadapi keberagaman cabaran politik, ekonomi dan sosial.
Kuala Lumpur Summit ini adalah sangat strategik, berpandangan jauh dan tepat pada masanya. Ia mesti disokong oleh semua pihak. Masalah dunia Islam adalah masalah sejagat dan memerlukan semua negara Islam dan masyarakatnya bersolidariti dalam mengemukakan penyelesaian yang ampuh.
Semoga persidangan ini akan berjalan dengan jayanya dan menemukan rumus paling releven dan efektif bagi menyelesaikan masalah ummah.
Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO