Dividen ASB 5.5 Peratus, Terendah Sejak Tahun 1990

Pengumuman kadar agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.0% dan bonus 0.5% oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz adalah yang terendah pernah diumumkan sejak tahun 1990.

Rata-rata rakyat yang mengambil pembiayaan bank bagi membeli unit ASB hanya bakal menerima keuntungan yang sedikit dari kadar agihan pendapatan ASB berjumlah 5.5% iaitu hanya 0.65% – 0.25% kerana kadar pembiayaan yang ditawarkan boleh bank-bank adalah dari 4.85% hingga 5.25%.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin mengingatkan Kerajaan bahawa ASB adalah antara instrumen perlaburan yang selamat dan menguntungkan kepada rakyat khususnya Bumiputera. Tidak mustahil ada dikalangan rakyat yang memiliki unit ASB bakal menjual unit-unit mereka untuk beralih ke unit amanah lain yang menawarkan agihan pendapatan yang lebih tinggi kelak. Apakah yang akan terjadi pada ASB dan PNB kelak?

Pengurusan PNB menyalahkan ketidaktentuan ekonomi global termasuklah harga minyak, harga komoditi dan perang perdagangan US-China telah menyebabkan kedudukan ekonomi Malaysia banyak terjejas banyak mempengaruhi kadar agihan pendapatan ASB. Kerajaan Pentadbiran Pakatan Harapan seharus mengakui bahawa dasar dan polisi ekonomi mereka yang u-turn dan bercelaru sebenarnya banyak mempengaruhi prestasi Bursa Saham Malaysia dimana PNB banyak melabur di dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan disana.

Rakyat Malaysia, khususnya para pekerja juga kini bakal menantikan pengumuman kadar dividen KWSP untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 yang bakal diumumkan awal tahun hadapan. Sekiranya kadar dividen KWSP juga bakal menerima nasib yang sama, sudah pasti kehidupan rakyat juga bakal terjejas.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.