SEJAK Pakatan Harapan (PH) menduduki Putrajaya pada PRU14 yang lepas, Penjawat Awam sentiasa menjadi sasaran kambing hitam dan kritikan hanya untuk menutup kelemahan kepimpinan politik PH. Ironinya mereka dilonggokkan dengan bebanan tugas namun kebajikan mereka masih gagal dibela dan dijaga sebagaimana 8 PERKARA berikut:
1. Pengecilan saiz perkhidmatan awam.
Penjawat awam dilabel ‘biawak hidup’ dan ’beban mati’ oleh DAP kerana didakwa terlalu ramai hingga Kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan emolumen dan bayaran pencen yang tinggi. Regim PH telah mensasarkan pengurangan perjawatan 5% penjawat awam setiap tahun yang pastinya menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat pada masa akan datang.
2. Pembatalan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas 2018. Kerajaan PH membatalkan KGT Khas seperti yang diumumkan semasa MAPPAXVI oleh Kerajaan BN yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jun 2018 dengan alasan bahawa kekurangan pendapatan Kerajaan walaupun rekod menunjukkan hasil Kerajaan Persekutuan dicatatkan meningkat sebanyak 6.4%
3. Kegagalan melaksanakan dasar Gaji Minima RM1,500. Kerajaan PH gagal menunaikan janji Gaji Minima RM1,500 dengan memberi alasan kenaikan gaji minima akan dilaksanakan berperingkat selama 5 tahun dan pada masa yang sama tidak meneruskan cadangan BN untuk Gaji Minima RM1,200!
4. Tiada Semakan Gaji Penjawat Awam dan Pengurangan Bayaran Khas (Bonus Khas).
PH tidak bersungguh melakukan Semakan Gaji Penjawat Awam walaupun pelbagai cukai baharu seperti cukai digital diperkenalkan selain kos sara hidup yang makin membebankan. Bayaran Khas sempena perayaan dan musim persekolahan juga dikurangkan sedangkan waktu seperti inilah trend perbelanjaan mereka meningkat.
5. Pemberhentian Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).
Belanjawan 2020 didapati tiada lagi peruntukan khas bagi pembinaan PPAM dengan alasan yang tidak munasabah bakal menekan penjawat awam khususnya kakitangan awam muda untuk memiliki rumah sendiri dan mampu milik!
6. Cadangan Pindaan kepada Umur Berpencen dari 60 tahun ke 65 tahun.
Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar umur persaraan dinaikkan ke 65 tahun sering mendapat alasan dan dianggap kurang popular oleh Kerajaan. Hakikatnya negara akan menuju negara tua pada tahun 2030, sewajarnya cadangan ini diangkat sebagai usaha yang lebih pragmatik oleh Kerajaan PH!
7. Pertukaran Skim Lantikan Tetap kepada Skim Lantikan Kontrak. Pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada bulan September 2019 yang lalu bahawa Kerajaan bakal melaksanakan Skim Lantikan Kontrak yang ditambahbaik dan memberhentikan Skim Lantikan Tetap Berpencen menyerlahkan sikap PH mahu mengurangkan jumlah penjawat awam sekaligus menafikan hak bakat-bakat muda pada masa depan dalam Perkhidmatan Awam!
8. Kurang Kepercayaan Kepada Penjawat Awam Sedia Ada. Janji Manifesto yang sukar malah mustahil untuk dilaksanakan diletakkan sepenuhnya pada bahu Penjawat Awam. Pelbagai tuduhan dilemparkan seolah wujud sabotaj khususnya pengurusan tertinggi atas prestasi pencapaian Janji-Janji tersebut. Penjawat Awam sebaliknya dituduh menyokong ‘Daulah Terpendam’ atau ‘Deep State’ walaupun mereka hanya melaksanakan tugasan mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.
Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak Kerajaan PH untuk memberikan keadilan dan mengutamakan kebajikan Penjawat Awam yang selama ini menjadi nadi utama operasi kerajaan dan kecemerlangan negara. Hentikan menyalahi dan hormati etika profesionalisme mereka. Mereka hanya berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berintegriti dan berakauntabiliti tanpa terikat dengan politik kepartian!
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia