DENGAN keluasan perairan negara mencecah 614,000 kilometer persegi, menjadi antara cabaran besar kepada semua pihak yang menjaga perairan dan sempadan negara tidak kiralah sama ada Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan sebagainya dalam mengekang kebolosan pendatang asing ke negara ini.
Perhatian serius perlu diberikan agar kebolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak diketahui status kesihatannya dapat dikekang sewaktu negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini.
Kawalan keselamatan di sempadan negara meliputi laluan darat,laut dan udara perlu diperketat agar tragedi kebolosan sebuah bot hanyut yang membawa 202 pendatang asing dipercayai etnik Rohingya di 1.2 batu nautika barat daya Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi baru-baru ini tidak berulang.
Bagi meningkatkan tahap kawalan keselamatan sempadan negara dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 pembawaan pendatang asing dan bukan warganegara kerajaan dicadangkan supaya:-
• Meningkatkan penyelarasan operasi dan keselamatan di antara agensi penguatkuasaan melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
• Memanfaatkan keupayaan teknologi penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan dron bagi memantau aktiviti di kawasan sempadan yang jauh dari pos kawalan keselamatan.
• Mengukuhkan kerjasama Pertahanan dengan negara-negara jiran terutamanya Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina bagi menggandakan rondaan lebih dan kawalan keselamatan di sempadan negara masing-masing.
•Kerajaan harus menyediakan peralatan seperti saringan kesihatan atau keselamatan kesihatan atau apa sahaja alat terkini bagi mengesan sebarang wabak asing dari masuk ke dalam negara.
•Rakyat juga harus menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan sebarang kegiatan kemasukan PATI untuk menghindar penularan wabak ini.
Semoga dipermudahkan segala usaha pasukan dan agensi keselamatan di sempadan negara bagi mencegah rantaian pandemik Covid-19 dan jenayah rentas sempadan.
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO