Beberapa bulan lepas, beberapa pemimpin UMNO telah bertemu dan menyantuni Sheikh Ahmad Al Raisuni, Presiden Majlis Ulama Sedunia di Putrajaya.
Banyak nasihat yang diberikan. Namun, yang paling utama, beliau berpesan kepada pemimpin UMNO yang hadir agar bertindaklah seperti ‘ayah’ dalam politik kepartian di Malaysia.
Bukan sahaja kerana UMNO itu parti tertua, berpengaruh dan besar sumbangannya kepada Malaysia. Tetapi juga kerana semua parti Melayu Islam di Malaysia ini mempunyai sangkut paut dan perkaitan dengan UMNO. Biar dari segi sejarahnya, ideologinya atau pun mana-mana sudut lain.
PAS lahir dari pendukung UMNO. Semangat 46 juga begitu. Demikian juga dengan PKR. Hatta PPBM sendiri. Semuanya dibidani oleh mereka yang dahulunya bersama UMNO dan memimpinnya.
Maka wajarlah UMNO bersikap seperti seorang ayah sekalipun pada ‘anak’ yang telah meninggalkannya, atau yang ingkar padanya, mahupun kepada anak yang pernah ia halau pergi.
Resam seorang bapa, biar sedalam mana pun terguris, biar seteruk mana pun diperlakukan, nun jauh di sudut hati, tetap tertanam sekelumit harapan agar anak-anak kembali ke pangkuannya.
Nasihat tersebut ringkas. Namun, bermakna. Nasihat tersebut ringkas, namun bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Malah, sangat mencabar dan menuntut kesanggupan serta pengorbanan dalam aneka segi.
Sebab itulah, apabila UMNO dan PAS membentuk Muafakat Nasional, ia laksana sirih pulang ke gagang. Ia seakan membenarkan betapa air, walau dicincang tidak akan putus.
Walaupun dengan rupa bentuk kepartian tersendiri, DNA perjuangan UMNO dalam PAS itu wujud. Kerana itu UMNO merangkul PAS dengan erat, kerana setelah terpisah sekian lama, akhirnya kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini berdamai, kembali bertaut semula demi Islam, Melayu dan Malaysia.
Jika UMNO dan PAS yang saling berseteru puluhan tahun boleh mengetepikan ego masing-masing, lalu kembali bertaut menjadi saudara, masakan UMNO akan menutup ruangnya kepada PPBM. Apatah lagi bila kedua-dua pemimpin utama PPBM, Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, adalah antara putera terbaik yang pernah UMNO lahirkan.
Demi Malaysia yang kita cintai dan demi kesatuan bangsa Melayu serta kepentingan Islam, marilah di bulan yang penuh kemaafan ini, kita menjernihkan kekeruhan yang selama ini tidak menguntungkan sesiapa pun melainkan pihak lawan masing-masing.
Marilah kita mencari jalan untuk bertaut semula, seperti sebelumnya. Semasa kita semua diikat oleh satu tekad dan kepercayaan untuk berjuang dan menyumbang kepada bangsa teras dan mentadbir tanah air ini sebagai rumah terbaik untuk semua.
Marilah kita dukung roh Sang Ayah dalam UMNO, dan menguatkannya dengan islah dan pembaikan.
Bukan mudah untuk mana-mana parti Melayu menggantikan peranan UMNO. Kepada orang Melayu, politik tanpa UMNO sangat dangkal dan janggal.
UMNO dan PAS telah mencukupi untuk menjadi suara mewakili kepentingan bangsa Melayu. Tidak ada kekuatan lain yang boleh, dan perlu menandingi gandingan tersebut. Kehadiran dan pertambahan parti Melayu lain tidak akan sama sekali mengukuh kepentingan politik Melayu. Malah, hanya memecah dan melemahkan Melayu.
Semoga orang Melayu kembali bertaut kepada Sang Ayah yang tidak pernah sepi dari silap dan salah. Terkenang pesan Biduanita Sharifah Aini dalam lagu terbaiknya, “kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sanggupkah berpisah dan kasih saudara, kala berada”.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO