SETELAH 3 bulan menyesuaikan diri dengan PKP dan norma baharu susulan krisis Covid-19, Kerajaan perlu tampil dengan fasa bantuan dan intervensi seterusnya.
Ekonomi masih suram, pengangguran meningkat, syarikat masih dalam keadaan waspada untuk pengambilan pekerja mahupun pelaburan, dan meskipun tahap jangkitan menunjukkan trend penurunan yang baik, aktiviti ekonomi tidak semestinya akan segera rancak semula secara automatik.
Beberapa gesaan untuk pertimbangan Kerajaan:
1) Bantu para pengusaha dan syarikat mengadaptasi kepada SOP dan norma baharu.
Baik dari segi pengambilan suhu pelanggan, merekod keluar masuk premis mahupun penjadulan pekerja (contoh, separuh kerja di pejabat separuh kerja dari rumah), membeli alat peranti mudah alih dan sebagainya, semuanya memakan kos.
Tidak cukup Kerajaan meletakkan pelbagai syarat dan SOP tanpa bantuan atau insentif – kemudian apabila pengusaha tidak mampu mematuhi syarat tersebut mereka dihukum atau diarah berhenti operasi.
Cadangan: Kerajaan menyediakan suatu skim insentif pematuhan SOP Covid-19 terutamanya untuk IKS dan pengusaha-pengusaha kecil yang aliran tunainya sudah pun terkesan serius, agar membantu memastikan kedua-dua aspek kesihatan/keselamatan serta aktiviti penjanaan ekonomi dapat diperjuangkan.
2) Insentif komponen digital dan automasi
Tempoh hari saya menyentuh soal jurang digital dan perlunya strategi jangka pendek dan panjang supaya pengusaha dan syarikat IKS/Bumiputera tidak ketinggalan. Covid-19 telah mempercepat keperluan mendesak untuk menggunakan teknologi digital dan automasi sebagai satu aspek daya saing yang kritikal. Di seluruh dunia, siapa yang berupaya menggunakan aplikasi dan penyelesaian digital, syarikat mana yang ada elemen automasi – mereka yang selamat, mereka yang menang. Yang tidak berupaya, merekalah yang paling berisiko tercicir mahupun terkorban.
Cadangan: permudahkan pembiayaan kos berkenaan pengadaptasian teknologi digital dan automasi. Daripada sekecil-kecil perkara seperti aplikasi mudah alih, QR code kepada perkara lebih besar seperti automasi pembuatan – mungkin skim pinjaman atau geran boleh dipertimbangkan.
3) “Moratorium” perundangan
Kita sedia maklum bahawa Covid-19 adalah senario luar biasa, maka pelaksanaan perundangan untuk sesetengah perkara juga wajar luar biasa. Sewa premis tak dapat dibayar bukan sebab peniaga gagal, tetapi sebab perniagaan terpaksa terhenti. Sewa rumah tak dapat dibayar bukan sebab penyewa degil, tetapi pendapatannya juga terjejas. Hutang kepada pembekal tak dapat dilangsaikan mengikut tempoh masa yang dijanjikan bukan sebab pengusaha yang membeli sengaja melambatkan, tetapi aktiviti seluruh rantaian nilai terkesan, atau stok tak terjual.
Ini semua senario yang benar-benar berlaku dan ia tidak wajar ditafsirkan mengikut kerangka lazim.
Cadangan: Suatu keputusan harus dibuat oleh Kerajaan untuk membela nasib pihak yang terperangkap dalam dilema luar biasa yang bukan atas kesalahan atau kegagalan mereka. “Pause” sebarang tindakan perundangan dalam hal-hal berkaitan buat masa ini.
—
Tiga cadangan khusus buat masa ini. Ada juga keperluan melihat beberapa perkara lain yang saya sentuh secara ringkas supaya kenyataan tidak terlalu panjang.
—
4) Skim latihan dan penempatan kerja terutamanya untuk mereka yang menganggur akibat Covid-19. Serupa SL1M yang boleh disesuaikan dengan peredaran masa.
5) Skim “pengekalan pekerjaan” dimana Kerajaan dan agensi berkaitan membantu andai syarikat perlu melatih semula pekerja sedia ada untuk kemahiran yang berbeza daripada sebelumnya – dengan syarat tiada pembuangan pekerja atau diminimakan jika tiada pilihan.
6) Skim jaminan kerja. Boleh rujuk beberapa posting dan kenyataan sebelum ini untuk sedikit butiran lanjut.
7) Semak semula kemampuan dan kesediaan untuk meneruskan Bantuan Prihatin Nasional atau apa sahaja bentuk “cash transfer” kepada golongan berisiko.
—
Kebarangkalian besar, Covid-19 tidak akan hilang dengan cepat. Ia menjadi sebahagian dari realiti kehidupan dunia buat masa sekarang. Strategi dan pendekatan awal adalah untuk “lockdown” segalanya. Tetapi “lockdown” tidak boleh selama-lamanya. Hibernasi ekonomi tidak boleh terlalu panjang.
Kini, dunia sudah mula mencari penyelesaian berfasa yang lebih realistik dan mampan tanpa merisikokan kesihatan. Moga Kerajaan hari ini dapat mencari titik keseimbangan yang terbaik dalam masa terdekat.
Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia