PADA 29 Julai 2020 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman mengenai Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar. Ini adalah antara langkah yang diambil Kerajaan di bawah pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN, bertujuan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
Selaras dengan pengumuman tersebut, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam PTPTN untuk tempoh (3) bulan lagi mulai 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020. Penangguhan ini melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta. Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.
Semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini. Sekiranya, terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan.
Kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19. Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN.
Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my.
DATO’ DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
Ketua Wanita UMNO Malaysia