PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar Pemuda UMNO akan terus menjadi benteng parti dalam dinamika politik tanah air.
“Perlu ada daya tahan, daya saing dan daya juang dalam mempertahankan kegemilangan parti.
“UMNO tetap relevan sepanjang masa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena Ulang Tahun Pemuda UMNO yang memasuki usia ke-71 tahun pada hari ini.
Untuk rekod, Pemuda UMNO ditubuhkan pada 26 Ogos 1949 yang diketuai oleh Kapten Hussien Onn.
Ahmad Zahid juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1996 hingga 1998.
Manakala bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam platform media sosial yang sama turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-71 kepada Pemuda UMNO.
“Sejak sekian lama, Pemuda UMNO antara ‘frontliners’ politik kita. Sentiasa di barisan hadapan memperjuangkan agenda pembangunan negara ketika BN dan UMNO di tampuk kepimpinan negara.
“Dan dalam dua tahun ini ketika UMNO menghadapi tempoh sukar dengan pentadbiran kerajaan bawah PH (Pakatan Harapan), ahli-ahli Pemuda UMNO kekal setia bersama parti dan lantang mengutarakan isu-isu yang dihadapi rakyat.
“Tanpa putus asa atau kenal penat lelah,” katanya yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1987 hingga 1993.
Katanya, pengiktirafan, perhatian dan sokongan besar wajar diberikan kepada Pemuda UMNO.
“Mereka generasi yang terbukti berwibawa dan benar-benar berupaya menyumbang kepada tanah air ini,” jelasnya.
Begitu juga dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berharap agar Ikrar Pemuda terus menjadi azimat kepada seluruh Pemuda dalam perjuangan membela dan membuat jasa kepada nusa serta bangsa.
“Doa saya sentiasa mengiringi,” ujarnya yang menjadi Ketua Pemuda pada tahun 2008 hingga 2018.