Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkuatkuasa hari ini.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, skop tugasan dan tanggungjawab jawatan akan dimaklumkan kelak kepada Ahli Parlimen Pasir Salak itu, sebagaimana yang terkandung di dalam surat pelantikan tersebut yang bertarikh hari ini.
“Saya percaya, YB (Yang Berhomat) Datuk Seri dapat memberikan komitmen dan melaksanakan tanggungjawab ini seterusnya dapat membantu kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang,” kata Pengerusi BN itu.
Seterusnya, di dalam platform media sosialnya, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga berkata perlantikan Tajuddin adalah untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN bagi meneruskan perjuangan membela rakyat.