ALOR SETAR, 2 Jan – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri telah bermula 1 Januari yang akan berlangsung secara serentak sehingga 3 Jan melibatkan 191 Bahagian dan dilaksana dalam norma baharu memandangkan COVID-19 masih menular.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, biarpun dalam norma baharu namun kehadiran perwakilan tetap bersemangat.
“Kehadiran begitu ramai perwakilan walau dalam norma baharu dan keadaan politik semasa yang penuh warna-warni memberi gambaran jelas ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi masih bersemangat dan setia dengan perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya.
Terdahulu, semalam beliau telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap yang kemudiannya diikuti oleh perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Padang Terap selain seluruh jawatankuasanya di bahagian terbabit.
Terdahulu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan Mesyuarat Bahagian UMNO yang telah tertangguh beberapa kali ekoran penularan COVID-19 diadakan secara serentak dengan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.
Begitu juga dengan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan diadakan pada 30 Januari 2021 (Sabtu) dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 (Ahad).
Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya. – UMNO Online