ISU PdPR mendominasi perbincangan masyarakat. Suara terutamanya di kalangan B40 dan M40 menzahirkan kekangan untuk menjalani PdPR, antaranya berkenaan:
A) Ketiadaan laptop, peranti atau data yang mencukupi.
B) Kualiti capaian internet.
C) Persediaan tenaga pengajar.
Posting ini berkenaan masalah (A).
Pelbagai usaha dilaksanakan. Baik Ebit Liew, Syed Saddiq atau NGO-NGO tertentu, banyak pihak bukan Kerajaan turut membantu meringankan beban pelajar. Bagi saya, tak wajar mengkritik mana-mana usaha ini. Soal pendidikan – lebih ramai membantu, lebih baik.
Malaysia ada hampir 4.8 juta pelajar sekolah rendah dan menengah. Mengambil sifir mudah, B40 ada 2 juta pelajar dan M40 juga 2 juta.
Kerajaan boleh belanja dengan menyediakan kupon subsidi hanya untuk pembelian laptop – misalnya RM1,000 untuk B40 dan RM500 untuk M40.
Jika ia digunakan secara total pun, jumlah belanja adalah RM3 bilion. Tak sampai 1% Belanjawan 2021. Baik kupon fizikal mahupun e-wallet, kedua-duanya boleh dipertimbang.
Tak perlu spesifikasi ketat dan proses perolehan rumit. Biar pelajar/ibu bapa putuskan “device” apa mereka mahu beli – selagi ia memadai untuk PdPR.
Tambahan lagi, kupon atau baucar untuk menambah kitaran belanja dalam ekonomi – insya Allah tidak ada masalah.
Kunci untuk menangani cabaran PdPR ini ada di pihak Kerajaan. Mustahil NGO, parti politik atau orang persendirian boleh sediakan laptop untuk semua yang memerlukan.
—-
APA YANG KERAJAAN TELAH BUAT?
Belanjawan 2021 menggariskan 150 ribu laptop hasil sumbangan GLC dan GLIC di bawah inisiatif CERDIK. Hari ini Yayasan Hasanah (Khazanah Nasional) memaklumkan bahawa ia menjadi sekretariat inisiatif ini, dikendalikan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah menetapkan spesifikasi laptop yang hendak diberikan kelak.
Sepatutnya perkara ini diselesaikan lebih awal, dan spesifikasi laptop pun sewajarnya boleh ditentukan tahun lepas lagi – tetapi tidak mengapa; kita pandang ke depan.
Soal lebih besar, adakah angka 150 ribu itu berasaskan kajian mendalam tentang jumlah pelajar dan isi rumah yang memerlukan laptop untuk PdPR? Isi rumah B40 misalnya,
– Mungkin hanya ada satu laptop, yang belum tentu keberkesanannya.
– Mungkin laptop sama itu digunakan oleh ibu atau bapa untuk perniagaan atas talian.
– Besar kemungkinan dalam isi rumah sama, ada lebih dari satu pelajar.
Kajian Kementerian Pendidikan sendiri tahun lepas membayangkan 37% pelajar tidak ada sebarang peranti elektronik. Di kalangan yang ada peranti, kebanyakannya adalah telefon pintar dan bukan laptop/tablet atau PC.
Andaian saya – 150 ribu laptop tak cukup.
—-
Sewaktu Belanjawan 2021 dibentang mungkin Kerajaan mengharapkan sekolah dapat dibuka. Tetapi realiti sudah berubah. Kita sudah hampir masuk bulan Februari dan belum tentu bila sesi persekolahan dibuka semula dan belum tentu takwim sekolah 2021 tidak “diganggu” lagi kelak.
Sekarang sudah jelas isu ini berpanjangan dan PdPR bukan lagi satu kemahuan tetapi sudah menjadi keperluan merentasi seluruh segmen.
Jika ada idea atau kaedah lain, amat dialu-alukan. Tetapi yang penting, semua pelajar mesti ada kemampuan menjalani PdPR dan Kerajaan mesti mengutamakan kebajikan pelajar dan mengesyorkan mereka agar situasi hari ini tidak akan menghalang pelajar dari menerima pendidikan berkualiti.
Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia