KUALA LUMPUR, 31 Jan – Perhimpunan Agung UMNO akan diteruskan secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kaedah pelaksanaan perhimpunan yang lazimnya diadakan secara besar-besaran itu akan dimaklumkan kemudian seiring perubahan berikutan pandemik COVID-19.
“Mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan tetapkan bila Perhimpunan Agung UMNO bakal diadakan.
“Jika PKP dan darurat masih ada, kami akan buat juga secara maya.
“UMNO akan terus mara untuk rakyat Malaysia walau sebesar mana pun cabaran. Perjuangan tetap kita teruskan,” katanya menerusi kenyataan di Twitter @ahmadmaslan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 12 Januari lalu memberi perkenan proklamasi darurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.
Susulan itu, Ahmad pada 18 Januari lalu dilaporkan berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan berlangsung semalam dan hari ini ditangguhkan selaras proklamasi darurat dan pelaksanaan PKP.
Tarikh baharu perhimpunan itu akan dimaklumkan kelak, malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan bersetuju supaya pemilihan parti diteruskan di semua peringkat seperti yang dijadualkan pada tarikh bersesuaian pada tahun ini.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, pada 7 Januari lalu dilaporkan berkata, MKT mengambil keputusan supaya usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO.
Langkah itu bagi membolehkan usul berkenaan diperhalusi dan diputuskan di peringkat tertinggi parti, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO.
Selain dua usul tergempar itu, mesyuarat peringkat bahagian UMNO mengusulkan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini, bagi membolehkan mandat baharu dikembalikan kepada rakyat, tertakluk situasi COVID-19.