KUALA LUMPUR, 15 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) dilaporkan susut 5.6% pada tahun 2020 iaitu yang terburuk sejak tahun 1998 dan kali terakhir KDNK tahunan negara dilaporkan mencatatkan kemerosotan -1.5 peratus pada 2009.
Namun demikian, katanya, kerajaan hari ini berpandangan KDNK -5.6% tahun 2020 suatu perkembangan yang baik kerana unjuran awal Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF adalah -5.8 peratus.
“Saya tepuk dahi. Rakyat kesuntukan masa. Mereka tiada mampu menunggu unjuran seterusnya dengan harapan akan lebih baik,” katanya menerusi kenyataan terbaharu dalam laman facebooknya, hari ini.
Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kesan ekonomi mikro ke atas rakyat bersifat semasa, bukan terakru malah amat besar dan memeritkan.
“Kita maklum pandemik COVID-19 antara penyebab kepada penyusutan ekonomi. Ketidakstabilan politik juga antara faktor pelabur memindahkan operasi ke negara lain.
“Namun dengan dasar dan perancangan yang efektif, kesan langsung terhadap ekonomi rakyat boleh diminimumkan.
“Bagaimanapun apa yang berlaku setakat Disember lalu, seramai 772,900 dilaporkan hilang pekerjaan. Saya bimbang ramalan mengatakan kadar pengangguran akan bertambah.”
Soalnya, bagi yang dibuang kerja apa patut dilakukan jika kedudukan ekonomi negara terus di paras negatif?
“Mungkinkah sektor pertanian boleh dioptimumkan untuk membantu rakyat yang terjejas ini.
“Sebelum ini diceritakan mengenai mereka yang hilang pekerjaan berjaya dalam bidang pertanian. Menanam cili dan sebagainya tanpa memerlukan kawasan yang terlalu besar.”
Tegas Zahid, alangkah baik jika lebih banyak bantuan kewangan segera disediakan kepada rakyat yang mahu mengusahakan tanaman.
“Ketika sektor lain terjejas akibat COVID-19, industri berasaskan makanan dan pertanian sentiasa mendapat sambutan.
“Jika itu dilakukan, sekurang-kurangnya membantu ekonomi rakyat sekaligus menjamin sekuriti makanan negara,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online