Penelitian beberapa pakar perubatan dunia menjangkakan pandemik global yang kita hadapi waktu ini dijangka akan beterusan sehingga 2024.
Ini ialah kerana walapun vaksinasi telah bermula, tetapi ‘vaccine nationalism’ oleh sesetengah negara maju menyebabkan negara membangun dan kurang membangun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan vaksin.
Sehingga waktu ini, 130 negara masih belum menerima vaksin malah tidak berkemampuan untuk membelinya.
Senario ini akan menyebabkan pandemik ini akan terus menjadi ancaman keselamatan global sehinggalah semua warga dunia mendapat immunisasi dan membangun ‘immunisasi kelompok’.
Malaysia mesti mengambil pendekatan kesiapsiagaan terhadap senario ini. Sektor perkhidmatan kesihatan kita mesti diperkasakan dengan berganda dan tanpa berlengah.
Perjawatan baru mesti segera di wujudkan. Permohonan perjawatan tambahan yang di kemukakan pada Oktober 2020 diharap telah diluluskan dan di isi.
Petugas kesihatan kontrak dan sambilan yang waktu ini sedang berkhidmat wajar ditawarkan jawatan tetap dengan kadar segera.
Mereka telah berkhidmat di waktu yang sangat sukar dan pengalaman mereka sebagai petugas hadapan sangat berharga untuk memperkuatkan sistem kesihatan awam kita.
Petugas ini telah melaksanakan tugas patriotik mereka kepada negara dengan keringat dan pengorbanan tertinggi, walaupun tanpa jaminan pekerjaan tetap.
Justeru menyerapkan mereka ke perjawatan tetap adalah sangat bertepatan dengan kompetensi, jasa dan sumbangan mereka.
Sukarelawan yang terdiri dari pesara dan pelbagai segmen masyarakat yang lain pula mesti terus dilatih dan berada dalam ‘data base’ KKM agar mereka boleh dimobilisasikan segera dalam keadaan yang genting dan kritikal.
Sistem kesihatan kita telah berfungsi dengan baik disebalik segala tekanan luar jangkaan kerana merebaknya wabak corona ini.
Semua ini kerana dedikasi dan kerja keras semua petugas kesihatan, samada tetap, kontrak dan sukarelawan. Sumbangan mereka sangat luar biasa.
Tugas seterusnya ialah memperkuatkan sistem kita dengan menambah dan mengisi segala keperluan perjawatan, membawa bakat terbaik menyertai KKM, latihan berterusan bagi membangun kompetensi petugas kesihatan dan menyediakan kemudahan kesihatan komprehensif yang lebih banyak.
Kerajaan mesti menyegerakan semua ini demi Malaysia yang lebih siapsiaga, selamat dan sejahtera.
Dato Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan