UMNO ketika ini perlu membina kekuatan serta daya tarikan yang tersendiri untuk tidak berpaut kepada mana-mana parti politik yang lain dan mampu dilihat oleh rakyat secara jelas bahawa parti sentiasa mengutamakan rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata pendekatan ini dilakukan oleh semua parti dalam negara kerana situasi politik hari ini jelas berbeza dengan sebelum ini.
“Saya kira yang penting untuk Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah untuk membina kekuatan, daya tarikan yang tidak berpaut pada mana-mana pakatan.
“Ada jadi menteri, ada jadi timbalan menteri tapi tak jadi sebahagian daripada keluarga yang rasmi dan dalam keadaan itu memang banyak perkara yang wujud dalam sistem politik.
“Jadi ini penting untuk parti seperti UMNO yang ada kekuatan asas iaitu dengan 20,000 lebih cawangan yang ada serta ahli Parlimen yang besar jumlahnya… walaupun ramai yang sudah melompat. Semua ini menunjukkan bahawa UMNO perlu membina populariti yang tersendiri dan dilihat oleh rakyat bahawa UMNOlah yang melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Wacana Sinar bertajuk ‘Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara?’ yang turut menampilkan Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan dan Penganalisis Politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian secara langsung melalui Facebook Sinar Harian, Selasa malam.
Beliau yakin dengan berbekalkan keadaan ini UMNO akan bersikap lebih terbuka untuk menerima pandangan-pandangan berbeza terutama sebagai persediaan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“UMNO mesti kedepan kerana soal kepimpinan dan idea-idea asas telah wujud dalam UMNO. Ini kerana UMNO pernah menjadi teraju kerajaan begitu lama… yang bermakna dalam struktur UMNO itu sendiri sudah wujud soal idea memperjuangkan rakyat tapi soalnya bagaimana nak bawa agar rakyat boleh lihat… misalnya soal moratorium, antara orang yang paling awal suarakan ialah Presiden UMNO.
“Baru-baru ini Presiden UMNO juga berikan sedikit komentar tentang KDNK… bagaimana kita mengajak kerajaan dan pemegang taruh yang lain untuk selesaikan keadaan ekonomi negara dikala KDNK kita menguncup.
“Timbalan Presiden UMNO pula suarakan bagaimana sistem kesihatan kita perlu dirombak supaya ada revolusi-revolusi tertentu sekiranya keadaan pandemik seperti hari ini berulang lagi. Ini adalah antara contoh-contoh yang disuarakan UMNO.”
Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO percaya bahawa parti ini mempunyai banyak kelebihan yang perlu diserlahkan atau dilihat oleh rakyat.
“UMNO boleh tunjukkan BN… boleh tunjukkan bersedia untuk menawarkan pertimbangan atau persediaan bagaimana hendak menunjukkan muka-muka baharu, iaitu boleh bersama dengan muka-muka yang lebih berpengalaman dalam PRU15.
“UMNO juga boleh menunjukkan bahawa tidak takut dengan undi 18 tetapi bersedia untuk cuba menang undi muda dan bersedia untuk menghormati suara anak muda.”
Beliau juga percaya sekiranya tindakan tersebut dilakukan, UMNO akan berupaya mendapat sokongan rakyat untuk menerajui negara.
“Kalau UMNO boleh buat reform-reform tersebut mendepani pembaharuan dalam sistem politik negara hari ini saya yakin UMNO punya populariti tidak perlu berpaut kepada mana-mana perikatan tetapi dengan kekuatan sendiri,” katanya lagi.