“Mereka Takutkan Bayang-bayang, Mereka Tahu ‘Rumah Agam’ UMNO Sedang Dipulih”

TANGGAL 9 Mei 2018 musuh tertawa melihat ‘rumah agam’ UMNO roboh.

Puas hati melihat ahli UMNO yang setia kesedihan. Yang kurang setia bagai ayam disambar helang.

Takdir ilahi aku dipilih mengenggam bara api perjuangan memahat tiang agar kembali berseri.

Jangan tuduh diri yang serakah. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.

Namun amanah dan baiah kepada Tuhan azimat penguat semangat.

Baru saja mula memahat diugut rakan supaya beredar atau ada yang akan meninggalkan saf.

Tidak lama selepas beredar mereka mufaraqah jua. Ternyata cuma alasan. Ugutan itu dusta.

‘Rumah agam’ lain tersedia. Buat apa susah-susah. Selamat tinggal mungkin kerana dirimu begitu berharga.

Itu mengikhtisarkan pengalaman 6 bulan bercuti atau lepas jawatan bukan penyelesaian.

Sesiapapun yang diamanahkan akan mereka gasak supaya tiang kekal tidak berseri, kerana itu matlamat utama mereka.

Sekembali memahat, diugut pula seteru supaya henti bertukang. Jika tidak ke dalam kau rasakan.

Pedulikan. Aku percaya keagungan Tuhan. Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Melindungi.

Mereka takutkan bayang-bayang. Mereka tahu ‘rumah agam’ UMNO sedang dipulih.

Mereka takut dan resah mahu menggagalkan. Namun aku yakini kudrat ini tidak akan pernah berhenti.

AHMAD ZAHID HAMIDI