KUALA LUMPUR, 24 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO harus terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan yang terjadi kerana perpecahan akan membuatkan bangsa Melayu itu lemah dan akhirnya peristiwa 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) berulang.
Dalam hal ini, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia juga supaya menolak politik kebencian dan fitnah dan kita harus mencari satu permulaan baru kepada Malaysia yang lebih baik dan aman dalam norma baharu pasca COVID-19.
“Saya amat yakin dengan segala sejarah dan peristiwa lepas yang telah menjerumuskan kita dalam rekah kebinasaan sebuah negara majmuk seketika itu menjadikan kita lebih matang dan rasional dalam menentukan halatuju negara demi masa depan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kanan (Pertahanan) berkata, sepanjang BN/UMNO menjadi kerajaan, telah terbukti negara ini ditadbir dengan baik dan sikap saling hormat menghormati antara kaum sentiasa dipelihara dalam semua aspek.
“Bukan hanya bangsa Melayu/Bumiputera terjamin tetapi kaum-kaum lain turut bebas mengamalkan budaya serta kepercayaan masing-masing, malah dirai bersama dalam kemajmukan Malaysia.
“Lantaran itu, bangsa lain tidak perlu khuatir sama sekali sekiranya UMNO yang menjadi kompenan dalam BN kembali menjadi tunjang negara,” katanya.
Ujarnya, dalam mencari kepercayaan rakyat, UMNO juga perlu belajar daripada kesilapan di mana kita tersilap membuat percaturan sehingga akhirnya tersungkur pada PRU-14 yang lalu.
“Tidak salah untuk kita akui kesilapan dan belajarlah daripada kesilapan ini agar kita dapat membina kembali keutuhan parti.
“Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh.”
Beliau turut menekankan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar.
“Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 sudah tidak lama.
“Sesungguhnya kepelbagaian kaum di Malaysia merupakan satu keunikan yang tidak dapat kita hayati di negara atau tempat lain. Semangat saling menghormati antara kaum dan agama merupakan lambang kemajmukan Malaysia.
“Namun 22 bulan PH mentadbir negara, kamajmukan ini seakan cuba dirobek apabila hak keistimewaan orang Melayu Bumiputera diganggu. Mana mungkin kita lupa kesengsaraan yang dilakukan oleh PH sepanjang mereka menjadi pimpinan negara sehinggakan ramai pelabur mula menarik diri.”
Katanya, beliau konsisten untuk bercakap dan memperjuangkan bangsa melayu disamping menghormati rakan-rakan lain dalam negara kita.
“Setelah lebih setahun kita diserang pandemik COVID-19, ianya telah banyak mengubah kehidupan normal kita dari sebelum ini. Ia mengajar kita soal pematuhan kepada ketetapan dan bagaimana kita menyesuaikan diri dalam norma baharu yang serba menghambat.
“Kita sedang mengharunginya bersama dan cahaya kejayaan makin hampir dengan adanya vaksin untuk imuniti rakyat lebih terjamin,” katanya lagi. – UMNO Online