KUALA LUMPUR, 28 Feb – Tindakan kerajaan yang mengenakan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar SOP (Prosedur Operasi Standard) pencegahan COVID-19 bermula 11 Mac 2021 menimbulkan keresahan rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peraturan baharu itu jika dilihat dengan mata kasar bersifat tegas, tetapi beliau khuatir ia akhirnya akan mengundang kemarahan ramai.
“Saya memahami kehendak kerajaan yang mahukan rantaian COVID-19 diputuskan segera dan ia memerlukan tindakan yang ketat.
“Namun, kompaun yang begitu tinggi seperti menjerat leher rakyat yang kini sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Terima kasih kerajaan atas pengeluaran I-Sinar sebanyak RM10,000, I-Lestari RM500 sebulan, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan PERMAI,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengulas, ramai mula menyindir mungkinkah bantuan itu akhirnya terpaksa dipulangkan sekiranya mereka secara tidak sengaja terlanggar SOP COVID-19.
“Kita semua sedar rakyat sedang berdepan ketidakmampuan ekonomi ditambah pula kadar pengangguran yang tinggi.
“Jika kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan, berapa bulankah gaji bulanan yang diperlukan mereka untuk membayar denda berkenaan? Soalnya.
Seterusnya, tambah Zahid lagi, masalah lain dikhuatiri berlaku pertelingkahan antara individu yang dikompaun dengan pihak penguatkuasa.
“Saya percaya mana-mana individu menyedari didenda sebanyak RM10,000 pasti akan berasa marah.
“Bagi saya denda bertujuan untuk mendidik, bukan untuk menekan hidup rakyat yang sedia ada dalam kepayahan,” ujarnya – UMNO