WABAK COVID-19 telah meninggalkan kesan sosioekonomi yang berpanjangan di Malaysia.
Penderitaan yang dialami oleh isi rumah dan perniagaan kini semakin serius akibat kesihatan kewangan yang semakin lemah.
Sebagai bukti, jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) mencapai paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun yang lepas, sebanyak RM28.7 bilion pada bulan terakhir tahun 2020.
Sebenarnya, trend peningkatan pinjaman terjejas direkodkan dalam kalangan isi rumah, sektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel setelah moratorium pinjaman menyeluruh berakhir.
Bagi isi rumah, kehilangan pendapatan dan pengangguran, menjejaskan kemampuan untuk memenuhi komitmen pembayaran pinjaman terutama bagi mereka yang berhutang tinggi; dan faktor ini menyumbang kepada kenaikan pinjaman terjejas.
Untuk sektor perniagaan pula, kegagalan pembayaran pinjaman disebabkan oleh kehilangan hasil pendapatan dan penutupan perniagaan, terutamanya dalam sektor pelancongan, peruncitan dan aktiviti rekreasi.
Yang amat membimbangkan, pinjaman terjejas secara keseluruhan dijangka meningkat melebihi 4% daripada jumlah pinjaman pada akhir tahun 2021, didorong oleh segmen perniagaan, menurut Laporan ‘Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020’ oleh Bank Negara Malaysia.
Hal ini perlu ditangani kerana impak kenaikan kadar NPL mungkin melangkaui sektor kewangan dan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi Malaysia.
Oleh itu, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia harus mengambil tindakan dasar yang proaktif untuk mengatasi isu ini.
Contohnya, bantuan pembayaran dan langkah-langkah bantuan lain harus dilanjutkan dan diperluaskan, selari dengan impak gelombang ketiga wabak ini.
Hal ini adalah kepentingan kolektif industri perbankan untuk terus menyokong perniagaan dan isi rumah yang layak sepanjang tempoh yang mencabar ini.
Tambahan pula, laporan keuntungan bersih beberapa bank utama pada tahun 2020 menunjukkan bahawa moratorium automatik selama enam bulan tidak mengakibatkan kerugian yang diramalkan sebelumnya oleh Menteri Kewangan.
Maksudnya, bank-bank kita sebenarnya berdaya tahan akibat penimbal modal yang telah dibina selama ini.
Secara keseluruhan, saya sangat berharap bahawa kita akan melakukan yang terbaik untuk meringankan penderitaan golongan yang menghadapi kesulitan kewangan, demi mengelakkan kerosakan ekonomi yang tidak dapat dipulihkan.
Dato’ Seri Utama Mohamad Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO