KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan sedih apabila membaca laporan statistik terbaru yang menyatakan kadar pengangguran di negara pada Januari 2021 telah mencecah 800,000 atau kadar 4.9% di mana ia kadar yang tertinggi sejak 1993.
Katanya, ini mungkin tidak mencerminkan jumlah sebenar memandangkan terdapat lambakan pemegang ijazah atau kolej yang terus memasuki pasaran pekerjaan sepanjang masa.
“Kerajaan terus memberi gambaran yang indah, kononnya terdapat RM106 bilion pelaburan asing yang akan meletak kilang-kilang mereka di negara ini kononnya akan membawa 500,000 peluang pekerjaan.
“Ini telah ditempelak oleh pakar-pakar dunia yang dengan tegas menyatakan hanya terdapat sebahagian kecil sahaja yang akan melabur di negara kita. Ini menjadi lebih parah apabila terdapat pelbagai kilang-kilang antarabangsa yang akan menutup operasi mereka seperti Sony, Hyundai dan Panasonic.
“Terakhir kilang tayar Silverstone akan memberhentikan operasi mereka pertengahan tahun ini. Di manakah akan datangnya peluang pekerjaan positif 500,000 ini?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.
Ulasnya juga, beliau telah berberapa kali memberitahu pelaburan-pelaburan baru yang telah pun membuat keputusan untuk beralih ke Indonesia seperti Tesla, Amazon, Hyundai dan banyak lagi.
“Kita tahu untuk membuat keputusan pelaburan akan mengambil masa tetapi jika tiada indikator yang ianya akan berlaku, maka bertambah lama lagilah rakyat terpaksa menunggu peluang pekerjaan.
“Sedih, sungguh sedih bila memikirkan masa depan anak-anak kita,” kesalnya lagi.
Tambahnya lagi, Menteri Kewangan dengan bangga menyatakan ekonomi negara akan berkembang 6.5% tahun 2021 setelah mengucup 6.8% 2020 dan disokong oleh pakar-pakar ekonomi dunia.
“Adakah mereka faham bahawa setelah mengucup 6.8% 2020, ‘baseline’ kita adalah rendah 93.2% permulaan 2021. Dengan kenaikan 6.5% untuk tahun 2021, ekonomi kita pada pengakhir 2021tetap lebih rendah ‘level’ 2019 di tahap 99.25% sahaja!!
“Kita tidak akan berkembang pun!!,” tegasnya. – UMNO ONLINE