KUALA LUMPUR, 11 Mac – Tidak munasabah, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan mengulas pendapat Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim yang berkata tidak praktikal untuk menurunkan kadar umur pengundi kepada 18 tahun pada masa kini atas kekangan masa dan sumber.
“Bagaimana hendak menghadap orang ramai dengan perkara sebegini. Kredibiliti akan rosak andaikata kerajaan mengalih tiang gol semata-mata khuatir parti lawan lebih dekat dengan undi anak muda.
“Kalau risau 18 tahun tak sokong, yakinkanlah mereka untuk ubah. Jangan alih tiang gol sebab takut lawan akan ‘skor’. Menang/kalah dengan maruah,” ciap Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu di Twitter.
Sebaliknya kata Shahril jikapun wujud kekhuatiran tersebut, maka parti-parti harus berusaha memenangi sokongan orang muda dan bukannya cari jalan lari serta mengubah perkara yang telah dipersetujui dalam Parlimen.
Bercakap dalam satu program ruang bicara malam tadi bersama sebuah sebuah saluran televisyen kerajaan, Rais juga berkata penurunan had umur kepada 18 tahun sekarang ini akan mengambil masa untuk mengenal pasti individu yang layak mengundi dan kawasan mengundi golongan terbabit.
Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.
Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.
Manakala pada 3 Nov tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
Dengan kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. – UMNO ONLINE