KUALA LUMPUR, 12 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MIMBAR) berkaitan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlu diperhalusi.
Memetik dari laporan media, antara cadangan MIMBAR adalah semua cuti penggal persekolahan bagi tahun ini dimansuhkan bagi memberi peluang kepada pelajar dan murid yang tercicir untuk ‘catch up’ semula pembelajaran di mana terdapat di kalangan ibu bapa menyatakan pemansuhan ini perlu berikutan anak mereka terlalu lama berada di rumah ekoran penutupan sekolah.
“Di sudut positif, saya bersetuju dengan cadangan ini dan ia memerlukan tindakan berkesan oleh pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia). Bagaimanapun di satu sudut lain, kita juga perlu memikirkan mengenai guru.
“Walaupun sekolah tidak dibuka sebelum ini, tugas hakiki guru tetap diteruskan menerusi PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah). Jika cuti penggal dimansuhkan guru pasti kepenatan.
“Jika pemansuhan ini dilaksanakan, pengajaran guru boleh dibuat secara berjadual dengan mereka diberikan elaun khas atas kerja lebih masa,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam hantaran di Facebooknya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga amat bersetuju berhubung cadangan MIMBAR supaya pusat sehenti pemeriksaan kesihatan diwujudkan di sekolah bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Kita sedia maklum sekolah kembali beroperasi dengan kehadiran ramai murid. Kita bimbang perhimpunan yang ramai membuatkan virus itu dapat merebak dengan cepat.
“Golongan ibu bapa yang bekerja dalam sektor kesihatan tetapi tidak terlibat secara langsung sebagai barisan hadapan di hospital, mungkin boleh membantu. Ia memerlukan perbincangan bersama PIBG dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB).
“Jika ia diwujudkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga boleh membantu dengan menempatkan seorang atau dua orang jururawat di sekolah,” tambahnya. – UMNO ONLINE