Isu Kalimah Allah Episod Mendukacitakan, UMNO Hormati Keputusan Mahkamah, Kerajaan Perlu Segera Rayu

TANGGAL 10 Mac 2021 kita dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Selain kalimah Allah perkataan lain yang dibenarkan adalah solat, Kaabah dan Baitullah.

Beberapa pihak mendakwa hak penggunaan kalimah suci itu bagi tujuan pendidikan dalam komuniti mereka.

Mereka juga memberi alasan ia tidak menimbulkan sebarang kekacauan kepada keselamatan awam.

Kita menghormati keputusan mahkamah. Namun selaku parti keramat agama, bangsa dan tanah air, UMNO melihat ia episod yang mendukacitakan.

Isu ini sebenarnya telah berlarutan sejak tahun 2008 dan sudah menjadi polemik selama 13 tahun.

Tentunya ia amat menyedihkan buat majoriti rakyat negara ini yang merupakan orang Melayu beragama Islam.

Saya berpandangan Kerajaan Pusat perlu merayu di mahkamah berhubung keputusan itu.

Ia selari dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan harus dijamin demi keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama.

Perkara ini juga pernah saya bangkitkan semasa menjadi Menteri Pertahanan pada tahun 2010: (pautan 1) (pautan 2)

Sebagai rasa tanggungjawab pada agama, saya akan berkomunikasi dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan agar tindakan segera dapat diambil di Mahkamah Rayuan.

Saya bimbang jika isu kalimah Allah ini gagal ditangani pada akhirnya membolehkan pihak tertentu menggunakannya untuk mengelirukan umat Islam dengan tujuan yang tersirat.

#DemiUmmah #islam #KalimahAllah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden