TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap Perhimpunan Agung UMNO kali ini menjadi platform terbaik dalam mendengar pandangan ahli parti untuk memastikan UMNO kekal relevan berjuang demi rakyat.
Jelas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ini kerana UMNO merupakan organisasi teraju kepimpinan yang penting dan adalah induk kepada politik negara.
“UMNO mesti berupaya untuk mengupas, UMNO mesti berupaya untuk mengulas dan meneliti sehalus sebaik mungkin politik tanah air semasa.
“Ini suara ahli, suara ahli yang dibawa oleh perwakilan dan akan dibahaskan dangan baik dan di situ nanti parti akan mengolah dan akan menyusun strategi-strategi untuk UMNO.
“Membuat keputusan-keputusan yang akhirnya akan memberikan keuntungan kepada parti dan kebaikan kepada rakyat, orang Melayu khususnya dan juga negara kita,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu, beliau berkata rakyat terutama ahli parti sudah tentunya mahu mengetahui pendirian UMNO apatah lagi dengan landskap politik negara yang tidak konsisten.
“Politik semasa ini berubah-ubah dan ia menjadi pelbagai setiap hari, menjadi topik utama perbicangan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad turut berpesan kepada perwakilan yang hadir untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
“Jadi saya harap kepada semua perwakilan akan datang dan memberikan kerjasama yang baik.
“Supaya UMNO dilihat sebagai sebuah organisasi yang patuh kepada SOP yang telah disusun atur oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau.