KUALA LUMPUR, 13 April – Apa sudah jadi? Itulah persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkenaan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan penjawat awam berwakaf khususnya secara berkala melalui potongan gaji bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara.
Berkaitan hal ini, kata Zahida, dalam bahasa lainnya penjawat awam perlu menyumbangkan gaji mereka kepada kerajaan.
“Selepas kerajaan hari ini sudah belanja RM600 bilion (termasuk yang dikumpul kerajaan BN dahulu).
“Apa sudah jadi? Adakah kita sudah berbelanja melebihi pendapatan? Rakyat kita terus rugi apabila syarikat-syarikat besar dunia tidak lagi berminat untuk melabur dalam negara.”
Jelasnya, sebagai contoh Apple dan Samsung memilih Vietnam untuk kilang pembuatannya manakala Amazon akan membina tiga pusat data di Jawa Barat, Indonesia pada akhir 2021 dan awal 2022.
“Kalau dulu sudah pasti mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, kini tidak lagi.
“Mereka lebih yakin pada negara yang memiliki kerajaan dan politik yang stabil.
“Adakah kita nak biarkan masalah ini terus berlarutan? Tepuk dada, tanya selera,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini. – UMNO Online