KUALA LUMPUR, 15 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usahawan Melayu Bumiputera sebenarnya mampu untuk berubah dan menghadapi kesan pandemik COVID-19, hari ini.
Tegas beliau, pokoknya adalah keinginan dan komitmen untuk berubah seiring dengan keadaan sekeliling dan meletakkan kebajikan pekerja sebagai keutamaan serta sanggup berkorban demi kejayaan bersama.
“Kami di Pemuda UMNO Malaysia sering menerima banyak aduan mengenai kepayahan rakyat untuk mengharungi kehidupan yang mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.
Terdahulu beliau berkongsi berkenaan seorang sahabatnya dalam perniagaan yang beradaptasi dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.
“Sahabat saya ini memayungi sebuah rumah penerbitan buku dan makalah kontemporari yang semakin popular di kalangan anak muda kini. Organisasi ini dipacu hampir seluruhnya oleh anak-anak muda Melayu Bumiputera dan ramai penulis-penulis prolifik yang bernaung di bawah rumah penulisan ini malah tidak malu saya kongsikan di sini, saya sendiri antara pembaca setia buku-buku keluaran mereka.
“Apa yang menarik adalah bagaimana beliau dan rakan-rakan telah segera melaksanakan perubahan di dalam operasi syarikat mereka agar kesan dari pandemik dapat diminimakan.
Bagi mematuhi SOP, mereka segera melaksanakan polisi pejabat hanya dibuka tiga hari seminggu dengan kehadiran pekerja di pejabat tidak lebih 30%.
“Mereka juga segera mengadaptasi teknologi dan internet di dalam operasi seharian agar sasaran kerja tercapai dan produktiviti pekerja tidak berkurangan. Polisi Berkerja di Rumah (Work From Home) diwujudkan bagi memudahcara perubahan ini.”
Terang Dr Asyraf, hasilnya, pekerja gembira dan berasa tenang (peace of mind) untuk bertugas dengan kesihatan mental terkawal dan paling mengejutkan, produktiviti kerja meningkat lebih tinggi dari tahap pra-Covid.
“Melalui teknologi perhubungan ini juga, mereka boleh berunding dan mematerikan beberapa projek kerjasama dengan rumah penerbitan luar negara dan hasilnya amat membanggakan kerana beberapa buku terbitan mereka telah diterjemahkan di dalam bahasa asing.
“Lebih menarik, perubahan-perubahan ini tidak menjejaskan tenaga kerja mereka. Sahabat saya ini dan rakan-rakan perniagaan mereka bertekad untuk sebaiknya tidak membuang pekerja kerana mereka tahu akan kepayahannya. Kini mereka mempunyai lebih 30 orang pekerja yang mempunyai visi yang sama.
“Apa yang saya cuba bangkitkan di sini adalah usahawan melayu bumiputera sebenarnya mampu untuk berubah dan menghadapi kesan pandemik malang ini.”
Oleh yang demikian, katanya, kisah perjuangan ekonomi Melayu Bumiputera seperti rumah penerbitan ini wajar dijadikan contoh ikutan buat usahawan-usahawan lain, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.
Dr Asyraf juga menzahirkan ucapan tahniah kerana baru-baru ini organisasi tersebut telah dinobatkan sebagai Penerbit Prolifik 2020/2021 sempena Anugerah Buku Negara dan baru minggu lepas menganjurkan Festival Buku Alternatif Kuala Lumpur di sebuah gedung di Ibu Kota. – UMNO Online