MARAN, 19 April – Aplikasi Info PUMAS diharapkan dapat dimanfaatkan oleh pimpinan bahagian untuk mendapatkan info serta mendepani isu-isu semasa yang berbangkit, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.
Jelas beliau, aplikasi tersebut akan menyampaikan info yang sahih dan cepat yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat UMNO kepada pemegang akses applikasi berkenaan.
“Aplikasi ini merupakan sistem tertutup yang hanya boleh diakses oleh jentera Penerangan parti sahaja ataupun jentera parti.
“Sembilan orang setiap bahagian tetapi ini saya kira satu langkah yang mustahak kerana dunia sekarang adalah dunia digital jadi jentera Penerangan UMNO bergerak juga mestilah digital.
“Secara ringkasnya info ini mempunyai beberapa fungsi, yang utama adalah berkongsi infografik, video dan apa sahaja produk dari peringkat Penerangan Negeri dan Pusat melalui aplikasi ini supaya mereka ini boleh download dan boleh dapat terus info yang penting, yang sahih untuk disampaikan kepada ahli-ahli,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis ‘Penyerahan Log In ID Dan Taklimat Info PUMAS’ yang berlangsung di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, Maran, yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata aplikasi Info PUMAS ini juga berperanan sebagai medium komunikasi diantara bahagian dan juga di peringkat Pusat.
“Jentera penerangan di bahagian boleh melaporkan apa sahaja perkara releven yang perlu diulas yang perlu diambil perhatian oleh pusat melalui applikasi ini.
“Sebab kadang-kadang agak mustahil untuk Pusat tahu semua perkara yang berlaku di 191 bahagian.
“Jadi dengan applikasi ini… dengan cukup ringkas serta masa yang cukup singkat boleh cari sahaja apa isu yang berbangkit di kawasan dan apa tindakan yang diperlukan serta ibu pejabat akan terus dapat tahu,” katanya. – UMNO Online