KUALA LUMPUR, 21 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melontarkan pilihan kepada pelayar maya di Facebooknya sama ada kerajaan semasa berjaya atau gagal dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini dengan menggunakan Darurat.
Katanya, pada 11 Januari tahun ini satu pengisytiharan darurat telah diwartakan dengan matlamat menangani ancaman COVID-19.
“Selain adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Darurat tetap dilaksanakan sebagai langkah untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian.
“Namun, setelah empat bulan berlalu, apakah pandangan anda terhadap pentadbiran dan prestasi Kerajaan Perikatan Nasional dengan menggunakan Darurat sebagai kaedah dalam menangani pandemik COVID-19 kali ini,” katanya.
Tinjauan tersebut turut dipaparkan di laman Twitter peribadinya.
Dalam statusnya itu, Dr Asyraf turut memuat naik grafik yang memberi para pengunjung laman media sosialnya memilih antara A. #KerajaanBerjaya atau B. #KerajaanGagal.
Berdasarkan pemerhatian, jelas majoriti komen memilih B.
Untuk rekod, kes harian jangkitan COVID-19 masih di tahap empat angka dan tidak kurang dari dua ribu kes walaupun Darurat dilaksanakan di samping penguatkuasaan tidak boleh rentas negeri tanpa alasan kukuh. – UMNO ONLINE