KUALA LUMPUR, 26 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO tidak gilakan kuasa dan walaupun dalam situasi sukar, kesetiaan dan keikhlasan anggota parti sangat besar.
Ahmad Zahid berkata demikian berikutan beliau melihat masih ada pihak tertentu yang menaburkan fitnah kononnya UMNO memiliki masalah dalaman.
“Kononnya saya dan KJ bergaduh besar di bulan Ramadan. Sudah-sudahlah, hentikanlah tabiat buruk itu,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman facebooknya, hari ini.
Ujarnya, UMNO sejak dahulu ikatannya sangat kuat sehinggakan walaupun terdapat perbezaan pendapat tetapi ia bukan asbab untuk berpecah.
“Apatah lagi akar umbi dan perwakilannya sangat mempercayai satu sama lain. Ahli-ahli UMNO sangat matang. Mereka boleh menilai strategi politik busuk yang mahu menghancurkan UMNO.
“Ahli-ahli UMNO tidak gilakan kuasa. Walaupun dalam situasi sukar, kesetiaan dan keikhlasan mereka sangat besar. Saya tertanya-tanya kenapa takut sangat dengan UMNO? UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditewaskan pada PRU-14 angkaran fitnah dan UMNO bukanlah parti yang menerajui Perikatan Nasional (PN).
“Walaupun kami memberikan dokongan membentuk kerajaan, pihak berkaitan masih menghina UMNO. Melabelkan pimpinan parti ini sebagai binatang. Adakah ini amalan yang mulia di bulan Ramadan?”
Sepatutnya kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) jika mahu memenangi hati rakyat dan pengundi, tunjukkanlah tadbir urus yang baik dan wujudkan peluang pekerjaan yang banyak, rancakkan semula ekonomi, tarik semula pelaburan langsung asing.
“Atau tetapkan dasar yang tepat ketika pandemik ini dan jangan flip flop. Kendalikan kes Covid-19 secara berkesan selain segerakan pemberian vaksin. Jika ini berlaku nescaya rakyat akan suka. Apa yang penting tampilkan politik matang.
“Ancaman kepada kerajaan ketika ini adalah Covid-19 bukannya UMNO. Maka uruskan virus ini bukannya parti kami. Saya pelik mereka terlalu gentar dengan UMNO sehingga lupa laporan harian Covid-19 terus mencatatkan peningkatan ribuan kes.”
Tegasnya, pihak berkaitan gagal menguruskan negara tetapi UMNO pula dipersalahkan?
“Bimbang dengan kebangkitan UMNO kah sehingga menghantar parasit untuk memusnahkan UMNO. Dengan izin Allah SWT, jentera parti ini akan terus diperkemaskan bagi mendepani PRU-15.
“Dan rakyat juga sudah menilai kepimpinan di zaman BN, PH dan PN,” katanya lagi. – UMNO Online