KUALA LUMPUR, 28 April – Buat segelintir pemimpin-pemimpin UMNO yang masih tak sedar diri sudah-sudahlah mengadu-domba dan mencetuskan persepsi bak ‘rumah dah siap, pahat masih berbunyi’, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Bahkan katanya, Perhimpunan Agong UMNO sebagai platform tertinggi parti telahpun buat ketetapan ‘No Dap, No PKR, No PPBM!’.
“Rakyat tidak mahu dengar lagi cerita politik dalaman UMNO! Cubalah selami isu rakyat ketika ini! Rakyat susah nak cari makan!
“Rakyat marah dilayani ‘dwi-standard’ dalam SOP (prosedur operasi standard) dan kompaun! Rakyat kecewa ketika mereka mengikat perut, ada pemimpin masih berjoli sakan!
“Rakyat resah tak boleh bersama keluarga di kampung menyambut lebaran,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook yang mengucapkan terima kasih kepada Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang bingkas dan pantas mencairkan fitnah terhadap parti.
Gesanya lagi kepada pihak berkenaan, jika masih ada sekelumit perasaan simpati dan belum ‘mati rasa’, fokuslah agenda bantu rakyat dan berani bersuara bagi menggemakan denyut nadi mereka.
“Paling tidak, lebih baik berdiam diri dan fokus mengejar pahala berganda di bulan penuh barakah dan maghfirah Ramadan Al Mubarak,” serunya lagi.
Dr Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi hari ini nafi ada pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semata-mata untuk memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Ia susulan laporan media berhubung dakwaan daripada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan isterinya yang juga Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Mohd Yassin yang berkata wujud gerakan untuk menyokong Anwar. – UMNO ONLINE