KUALA LUMPUR, 6 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan mengutamakan rakyat tempatan dengan memastikan mereka dapat mengisi ruang pengangguran sedia ada sekiranya benar kerajaan melaksanakan perintah gaji minimum.
Ini kerana katanya, beberapa hari yang lalu Perdana Menteri memberi harapan baharu untuk kerajaan melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum 2020 bagi memastikan ia kekal relevan dengan sosioekonomi semasa susulan situasi hari ini yang memperlihatkan gaji sedia ada tidak mampu menampung kenaikan harga barang apatah lagi terdapat ramai golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Jika benar kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum semaksima yang boleh, saya amat menyokongnya. Ia sesuatu yang baik untuk rakyat kerana mereka terbeban dengan kos sara hidup ketika ini. Namun perlu diingat peningkatan gaji minimum bakal mengundang lebih ramai pekerja dari luar yang mahu mendapatkan tawaran gaji lumayan.
“Andai itu dilaksanakan saya berharap kerajaan mengutamakan rakyat tempatan. Pastikan mereka merebut peluang ini dengan mengisi ruang pengangguran sedia ada. Lagipun baru-baru ini ada seorang Menteri menyatakan ekonomi Malaysia dalam keadaan stabil. Banyak pelaburan langsung asing (FDI) berjaya dibawa masuk. Maka ia adalah masa bersesuaian untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya dalam hantaran di facebooknya berkaitan isu ini.
Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berdasarkan gaji minimum yang dilaksanakan ketika ini, bayaran RM1,200 dibuat di 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran di seluruh negara. Bagi kawasan selain wilayah bandar utama, kadar gaji minimum kekal pada bayaran RM1,100.
“Menetapkan gaji minimum pada kadar semaksimum mungkin bukan mudah kerana terdapat banyak halangan daripada pihak swasta. Majikan swasta terutama pengilang enggan memberikan gaji minimum kerana mereka boleh mendapatkan pekerja asing dengan mudah dan murah. Mereka juga mengugut memindahkan pelaburan ke luar negara dengan situasi ini seringkali berlaku di negara-negara yang sedang membangun.
“Pernah ada sebuah gabungan parti politik memberi tawaran untuk meningkatkan gaji minimum sehingga RM1,500. Janji-janji itu dijadikan modal untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14. Tetapi apabila memerintah, janji hanya tinggal janji. Ramai yang belum lupa dengan janji itu, dan ramai juga yang termakan dengan janji tersebut.
“Sekitar tahun 1980-an seorang menteri turut melaungkan insentif buruh murah untuk menarik kehadiran pelabur seperti Motorola, Robert Bosch, Western Digital dan National Semiconductor. Pada masa itu kesatuan sekerja tidak dibenarkan untuk ditubuhkan. Jika dibenarkan, saya percaya kesatuan itu akan mengadakan demonstrasi di Parlimen.”
Apa-apa pun katanya, dalam kesibukan membincangkan gaji minimum kita lupa gaji Menteri.
“Rekod memperlihatkan gaji Timbalan Menteri dan Menteri adalah sekitar RM30,000 hingga RM60,000 sebulan. Sewaktu Ordinan Darurat dilaksanakan ada kalanya kita tidak dapat melihat Menteri dan Timbalan Menteri berkenaan. Al maklumlah Parlimen tidak bersidang. Mereka semua sibuk turun padang berjumpa rakyat dan bukan bercuti,” katanya. – UMNO Online