KUALA LUMPUR, 6 Mei – UMNO membuktikan kredibilitinya yang tersendiri dalam memperjuangkan nasib rakyat sehingga ke-75 tahun penubuhannya, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut beliau, ini membuktikan UMNO masih lagi kekal utuh berdasarkan kekuatan daripada ahli-ahli akar umbi yang sentiasa mendukung prinsip perjuangan parti keramat ini.
“Saya yakin UMNO akan lebih kuat, lebih bersemangat dan juga kepimpinan dan penyokong-penyokong akan berada pada landasan yang betul kerana parti akan menyambut Jubli Intan ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan selamat ulang tahun UMNO, tak banyak parti di dunia ini sebenarnya yang boleh bertahan dalam seusia 75 tahun sebagai sebuah parti yang berasaskan kepada perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, sempena menjelangnya hari raya Aidilfitri, ahli Parlimen Padang Terap itu juga berharap agar Aidilfitri memberikan signifikan yang tersendiri biarpun wabak pandemik COVID-19 belum berakhir.
“Saya ucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin serta kita berharap bahawa Aidilfitri ini kita dapat sambut dengan baik.
“Mudah-mudahan pandemik COVID yang kita hadapi ini akan berkurangan dan insya-Allah ekonomi negara akan bertambah baik dan membolehkan rakyat hidup lebih sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online