KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kerajaan hari ini gagal dalam permohonan untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114 juta, yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018.
Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata pemohon gagal membuktikan wang berjumlah RM114,164,393.44 yang disita adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, status quo wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan apabila hakim itu tidak mengeluarkan sebarang perintah sama ada wang berkenaan, yang kini berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu dikembalikan kepada pemilik asal.
UMNO dan Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44. – BERNAMA