Peningkatan Membimbangkan Kes Covid19 : UMNO Cadang Lapan Langkah Drastik

Peningkatan kes amat membimbangkan. Perlukan tindakan drastik oleh kerajaan dalam menentang Covid-19 namun memastikan kelangsungan hidup rakyat tetap dipelihara.

UMNO dari awal lagi konsisten agar PKP yang ketat perlu dilaksanakan bagi membendung peningkatan kes jangkitan Covid-19 ini namun sayangnya kerajaan tidak mengendahkan suara UMNO.

1. PKP PENUH MINIMUM 21 HARI SEPERTI HONG KONG, VIETNAM DAN SINGAPURA

PKP yang akan dilaksanakan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri ini hakikatnya masih membenarkan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa sedangkan fakta menunjukkan lambakan kluster jangkitan Covid-19 ini adalah berpunca daripada sektor perkilangan, tapak pembinaan dan pusat membeli-belah. Kerajaan seharusnya melaksanakan PKP yang ketat dengan menutup semua sektor ekonomi dan sosial selama 21 hari. PKP yang sekadar hangat-hangat tahi ayam ini tidak akan membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19 ini dan buktinya ialah PKP 2.0 serta pelaksanaan darurat sebelum ini yang tidak menyumbang langsung kepada pengurangan kes jangkitan Covid-19.

2. MORATORIUM PUKAL

Kerajaan harus dengan segera mewajibkan sektor perbankan melaksanakan moratorium 3-6 bulan tanpa apa-apa syarat dalam usaha mengurangkan beban rakyat ketika PKP 3.0 ini. Sepanjang PKP 1.0 dan PKP 2.0, sektor perbankan masih mampu menjana keuntungan maka kerajaan seharusnya tegas memastikan kebajikan rakyat terbela dengan memberikan moratorium tanpa syarat.

3. TAMBAHAN BANTUAN PRIHATIN RAKYAT DISEGERAKAN

Bantuan prihatin kepada rakyat ditingkatkan dan dilaksanakan serta-merta. Bantuan-bantuan ini tidak hanya memfokuskan kepada B40 semata-mata tetapi juga kepada golongan M40 serta pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Kerajaan PN harus pertimbangkan untuk meneruskan i-lestari dan I-Sinar sementara bantuan one-off diberikan kepada sektor yang terjejas teruk ketika ini seperti pelancongan dan IKS. Bantuan pinjaman kewangan juga harus disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.

4. KOMPUTER RIBA 150,000 DIPERCEPATKAN DAN DITAMBAH UNIT

Dalam Bajet 2021 Kerajaan memperuntukkan 150,000 komputer riba kepada pelajar dari 500 buah sekolah tetapi sehingga ke hari ini para pelajar masih belum menerima komputer riba ini. UMNO mendesak agar kerajaan dengan segera melaksanakan program ini dengan pemberian terus komputer riba kepada pelajar dan bukannya diberikan sebagai pinjaman. Malah, pemberian komputer riba harus meliputi semua pelajar peringkat rendah dan menengah dan bukannya bertumpu kepada 150,000 pelajar sahaja. Persekolahan boleh diteruskan secara maya dan pastinya akan mengurangkan beban ibu bapa dan melancarkan pembelajaran secara maya.

5. PERHEBAT PROGRAM IMUNISASI KEBANGSAAN

Program imunisasi negara harus diperhebatkan. Walaupun negara pada fasa pertamanya berjaya mencapai sasaran imunisasi dengan 895,204 penerima satu dos suntikan vaksin namun Malaysia dilihat jauh kebelakang dalam mencapai sasarannya melibatkan fasa kedua dan ketiga yang melibatkan hampir 23 juta rakyat Malaysia.

6. SKIM BAKUL MAKANAN HENDAKLAH DITAMBAH BAIK KAEDAH PENYAMPAIAN

Program bakul makanan RM100 melalui Skim bantuan PERMAI 2021 diperhebatkan. Bakul makanan ditambah dan melonggarkan syarat penerimaannya serta dicadangkan untuk turut memfokuskan isi keluarga M40. Ekonomi yang lembap dan kegagalan pengurusan krisis pandemik ini turut menjejaskan golongan M40 maka adalah wajar untuk pertimbangkan keluarga M40 untuk turut menjadi penerima program bakul makanan ini.

7. UTC DAN RTC SEBAGAI ONE STOP CENTRE BANTUAN RAKYAT MEMERLUKAN

Urban Transformation Center (UTC) dan Rural Transformation Center (RTC) harus bertindak sebagai Pusat Hentian Setempat atau One Stop Centre dalam pengagihan bantuan kerajaan seperti bakul makanan misalnya. Pusat ini juga harus dijadikan sebagai pusat pengumpulan data maklumat dimana rakyat yang terhimpit dengan kesusahan akibat PKP ini boleh mendapatkan bantuan terus di Pusat Hentian Setempat tanpa karenah birokrasi politik.

8. TAMBAHAN HOSPITAL MEDAN

Kerajaan harus serius dalam menambah hospital medan serta Pusat Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) diseluruh negara. Malah, aset-aset kerajaan seperti Kem Wawasan Negara, pusat-pusat latihan dan akademi juga harus ditukar fungsi menjadi PKRC dalam usaha mengurangkan beban hospital kerajaan dan swasta ketika ini.
PKP 3.0 ini seharusnya tegas meliputi semua sektor. Pendek kata, biar rakyat derita seketika tetapi hasilnya merangkumi kesejahteraan kesihatan negara. Dan adalah menjadi tanggungjawab mutlak kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat sewaktu PKP 3.0 ini. Rakyat selamat, sejahtera negara!

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
Presiden UMNO / Pengerusi Barisan Nasional